Selasa, 28 Disember 2021

Skim Wilayah Bebas Berniaga dilanjut sehingga Jun 2022


Kementerian Wilayah Persekutuan melanjutkan Skim Wilayah Bebas Berniaga yang dijadual tamat pada 31 Disember ini sehingga Jun tahun depan bagi membantu peniaga kecil-kecilan.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata keputusan itu dibuat bagi meringankan beban lebih 4,500 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar di bawah skim tersebut memandangkan negara masih berdepan ancaman Covid-19 dan cabaran ekonomi.

“Walaupun harga dikenakan untuk pembaharuan lesen ini tidak tinggi tetapi sedikit sebanyak inisiatif Wilayah Bebas Berniaga diharap dapat membantu meringankan beban peniaga,” katanya, lapor Bernama.

Beliau turut mengingatkan peniaga agar mengikut peraturan dan garis panduan ditetapkan serta tidak berniaga di lokasi yang boleh mengganggu laluan dan ketenteraman awam.

Skim Wilayah Bebas Berniaga diperkenal pada 15 November tahun lalu bagi membolehkan orang ramai di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai secara percuma.

Ini adalah kali kedua skim berkenaan dilanjutkan setelah sepatutnya berakhir pada 31 Julai lalu

Berdasarkan peraturan sebelum ini semua lesen boleh disambung secara automatik, dengan peniaga perlu memasukkan data secara dalam talian dan lesen disambung secara automatik

Peniaga juga tidak dikenakan sebarang bayaran, termasuk tapak, dan boleh terus berniaga di bawah program ini sehingga Jun tahun depan.

Tiada ulasan: