Selasa, 28 Disember 2021

35 pesakit Covid-19 meninggal dunia semalam, 42,917 kes masih aktif


Seramai 35 lagi pesakit Covid-19 di 11 negeri dan Wilayah Persekutuan meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam, termasuk enam kematian sebelum menerima rawatan di hospital atau kes BID, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian sejak Covid-19 melanda negara awal tahun lalu kepada 31,369 kes, termasuk 6,334 kes BID, lapor KKM menerusi laman sesawangnya, Covidnow.

Daripada keseluruhan kematian semalam, Selangor merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 11 kes, menjadikan kumulatif 9,927 kes, termasuk 2,105 kes BID.

Sehingga semalam, negeri itu merekodkan 783,079 kumulatif kes positif, dengan 761,156 pesakit telah sembuh, dan 11,996 kes lagi masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 10,891 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 289 ditempatkan di PKRC; 755 dimasukkan ke hospital; dan 61 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 41 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sejak 24 Februari hingga semalam, sebanyak 94.1 peratus atau 4,761,627 individu di Selangor telah lengkap divaksinasi, manakala 95.4 peratus atau 4,836,064 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Seramai 1,207,222 penerima lagi telah diberi suntikan dos penggalak.

Bagi negeri-negeri lain pula, Pulau Pinang merekodkan lima kematian; diikuti Perak (empat); masing-masing tiga di Johor serta Kuala Lumpur; dua kes masing-masing di Kelantan, Negeri Sembilan dan Sabah; serta masing-masing satu di Kedah, Melaka, dan Pahang.

Tiada kes kematian dilaporkan di Perlis, Sarawak, Terengganu, Labuan dan Putrajaya.

Sehingga semalam negara mencatat 2,743,936 kumulatif kes positif, termasuk 7,177 kes import, dengan 2,669,650 pesakit telah sembuh, dan 42,917 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 36,052 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,071 ditempatkan di PKRC; 3,497 dimasukkan ke hospital; dan 297 pesakit dirawat di ICU, dengan 169 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Tiada ulasan: