PETALING JAYA: Penghuni salah sebuah blok asrama lelaki di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kampus Gombak berdepan detik cemas apabila berlaku tanah runtuh di kawasan blok tersebut.
Pengarah Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi, Harmi Taazim Mohamad berkata, kejadian disedari petang tadi dan pihak pengurusan mengambil tindakan pantas dengan memindahkan keluar semua pelajar dari blok tersebut.
Difahamkan, kira-kira 138 orang pelajar yang mendiami blok tersebut kini ditempatkan di blok lain sehingga kerja-kerja baik pulih selesai dan selamat untuk diduduki.
“Tanah runtuh itu disedari petang tadi, semua terkawal para pelajar yang berada di blok tersebut telah dipindahkan dan tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan,” katanya ketika dihubungi FMT.
Tambahnya, pihak pengurusan telah memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyiasat punca runtuhan dan memastikan adakah blok tersebut selamat untuk dihuni oleh pelajar semula.
“Perpindahan semula pelajar terlibat ke blok asal bergantung kepada kerja baik pulih dan sehingga mendapat makluman daripada JKR jika blok itu selamat didiami, pelajar akan dimaklumkan,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan