Selasa, 28 Disember 2021

3,462 mangsa banjir di Negeri Sembilan sudah terima bantuan

Oleh Mohd Amin Jalil
Aminuddin (kiri) menyampaikan sijil khairat kematian kepada ADUN Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani di Seremban - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil
Aminuddin (kiri) menyampaikan sijil khairat kematian kepada ADUN Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani di Seremban - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil

SEREMBAN: Kerajaan negeri sudah menyalurkan bantuan berjumlah lebih RM3.4 juta kepada 3,462 ketua isi rumah di Negeri Sembilan menjadi mangsa banjir, setakat semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lukut penerima bantuan tertinggi iaitu sebanyak RM524,000 diikuti DUN Klawang (RM463,000).

Katanya, DUN lain yang turut menerima jumlah bantuan tertinggi ialah Lenggeng (RM429,000), Chuah (RM334,000), Linggi (RM253,000), Chennah (RM268,000) dan Linggi (RM253,000) serta Labu (RM232,000).

"Bantuan tunai sebanyak RM1,000 ini sudah disalurkan menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada setiap penerima mulai Jumaat lalu dan setakat semalam, lebih daripada RM3.4 juta sudah disalurkan.

"Kita sudah minta agihan ini disegerakan kerana ia membabitkan keperluan mendesak kepada mereka yang ditimpa bencana ini dan sebahagian besar sudah selesai diagihkan dan dijangka selesai sepenuhnya sebelum akhir minggu ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sijil Inisiatif Takaful Khairat Kematian kepada ADUN dan Penyelaras DUN di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Aminuddin mengumumkan kerajaan negeri menyediakan peruntukan awal berjumlah RM12 juta bagi membantu mangsa banjir termasuk kos membaiki kerosakan infrastruktur dan kediaman serta senggaraan kesan daripada bencana berkenaan.

Menteri Besar berkata, bantuan berkenaan bukan saja diberikan kepada pemilik rumah yang ditimpa banjir malah kepada penyewa rumah berkenaan selain kepada pemilik dan penyewa premis perniagaan.

Menurutnya, pihaknya mendapati kerosakan pada infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan juga adalah tinggi termasuk rumah penduduk yang rosak teruk dan lenyap dibawa banjir.

"Bagaimanapun jumlah taksiran kos pembaikan itu masih belum dapat dimuktamadkan lagi kerana ia masih dalam penilaian agensi berkaitan.

Tiada ulasan: