PETALING JAYA: Gambar lelaki berketurunan Rohingya, Long Tiger yang dikehendaki polis selepas melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak diberkas polis tular di laman media sosial.
Gambar tersebut menunjukkan beberapa anggota polis menahan Long Tiger di sebuah rumah dan hanya berseluar pendek berwarna putih.
Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, dipercayai ditahan dalam satu operasi khas yang dilaksanakan bagi memburunya.
Butiran penangkapan suspek yang bersembunyi sejak 13 hari lalu dijangka diberikan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang akan mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor esok.
Dalam kejadian pada pukul 11.55 pagi, 15 Disember lalu, Ab. Hamim bertindak meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan terhadapnya di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan bermula.
Baru-baru ini Polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki rakan subahat kepada Long Tiger.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan