Oleh KOSMO!
JAKARTA – Berpuluh-puluh pelarian Rohingya yang dipintas selepas bot mereka mengalami masalah di luar pantai wilayah Aceh telah dihantar ke perairan Malaysia, kata pihak berkuasa hari ini.
Sekurang-kurangnya 100 orang dengan kebanyakan mereka wanita dan kanak-kanak berada di dalam bot kayu tersebut yang dikatakan dimasuki air. Kumpulan pelarian itu tidak dibenarkan mendarat di Indonesia sebaliknya mereka diminta meneruskan perjalanan ke jiran Indonesia, Malaysia.
Di sebalik gesaan oleh badan bukan kerajaan dan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pihak berkuasa Indonesia cuba menghantar pelarian Rohingya yang juga digelar orang hanyut itu ke tempat lain selepas memberikan bekalan makanan, pakaian dan bahan api.
Pihak berkuasa turut menyediakan mekanik untuk membaiki bot mereka yang rosak.
“Kami harap bekalan ini dapat membantu pelarian Rohingya tersebut meneruskan pelayaran ke Malaysia seperti yang mereka rancang dan harapkan,” kata jurucakap polis Aceh, Winardy.
“Kami akan memantau sehingga mereka tiba di destinasi tersebut,” tambahnya.
Bot kayu itu pertama kali dilihat dua hari lalu dalam keadaan terkandas sekitar 129 kilometer dari pantai Indonesia, demikian menurut seorang komander tentera laut tempatan. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan