KUALA LUMPUR: Industri insurans am berdepan dengan tuntutan berkaitan banjir dianggarkan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion berikutan bencana alam yang melanda di beberapa kawasan dalam negara baru-baru ini.
Persatuan Industri Am Malaysia (PIAM) dalam satu kenyataan berkata, anggaran itu termasuk daripada tuntutan persendirian dan komersial yang berpotensi dan sebenar, berpunca daripada banjir kilat selain musim tengkujuh yang akan datang dalam beberapa minggu serta bulan akan datang.
"Disebabkan banjir teruk luar biasa seperti yang dilaporkan secara meluas di pelbagai tempat dalam negara ini, industri insurans am berpotensi menghadapi peningkatan sebanyak RM2 bilion hingga RM3 nilion jumlah pendedahan tuntutan berkaitan banjir," katanya.
PIAM berkata, sebagai tambahan kepada jumlah pembayaran tuntutan yang dianggarkan di atas untuk bencana ini, industri insurans am turut menghulur bantuan denganmenyumbang RM2.43 juta kepada Dana Bantuan Banjir @ Dis 2021 yang baru ditubuhkan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyokong komuniti permotoran yang terjejas teruk semasa zaman sukar ini.
"Inisiatif industri insurans am ini akan melebihi komitmen sedia ada oleh penanggung insurans sejak bencana banjir berlaku, iaitu mempercepatkan penyelesaian tuntutan, menyediakan langkah bantuan khas tambahan, dan bantuan 'ad hoc ex-gratia' selanjutnya, seperti yang ditentukan oleh penanggung insurans am individu," katanya.
Persatuan itu menambah, bantuan CSR ini pada awalnya adalah dalam bentuk subsidi ke arah pembersihan di bengkel untuk kenderaan yang terjejas secara langsung akibat banjir yang mana masih belum dibaiki lagi pada peringkat ini.
"Subsidi ini bagaimanapun dihadkan sekali beri bagi setiap kenderaan sebanyak RM500 untuk kereta/ kenderaan perdagangan dan RM100 untuk motosikal.
"Pihak yang menuntut perlu mengemukakan bukti diperlukan mengenai kerosakan banjir pada kenderaan mereka dan bukti perlindungan insurans terdahulu.
"Kenderaan terbabit mestilah sama ada diinsuranskan pada masa ini (sebarang jenis polisi motor dengan atau tanpa perlindungan banjir adalah layak) atau kenderaan yang kali terakhir diinsuranskan pada 1 Jun 2021.
"Pada peringkat ini, dana akan ditutup sebaik sahaja jumlah yang dicagarkan sebanyak RM2.43 juta sudah habis digunakan," katanya.
Selaras dengan objektif CSR itu, PIAM mengalu-alukan sumbangan daripada pihak atau industri lain terhadap Tabung Bantuan Banjir yang akan memanjangkan hayat dana itu dan seterusnya membantu lebih ramai pemandu yang terjejas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan