Khamis, 30 Disember 2021

Siasat segera kejadian longgokan sisa balak di Karak – Asyraf Wajdi

AMRI

Siasat segera kejadian longgokan sisa balak di Karak – Asyraf Wajdi

AGENSI kerajaan pusat dan negeri digesa segera menyiasat punca longgokan sisa pokok balak di Karak, Bentong susulan bencana banjir yang berlaku baru-baru ini.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata agensi seperti Jabatan Perhutanan Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus menggembleng usaha bersama menyiasat punca kejadian berkenaan.

Menurutnya, ia bagi mengetahui jika ada sebarang salah laku dan penyelewengan dalam kegiatan pembalakan dan penerokaan hutan di kawasan terbabit.

“Segerakan siasatan dan ambil tindakan yang tegas bukan sahaja kepada sebarang bentuk pembalakan dan penerokaan hutan secara haram.

“Malah, kerajaan harus segera hentikan apa sahaja tindakan untuk menggondolkan hutan yang menjadi kawasan tadahan hujan yang merupakan sistem semulajadi ciptaan Tuhan untuk membendung sebarang musibah seperti banjir,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau menzahirkan rasa sedih kerana negara tidak mengambil iktibar dengan musibah banjir besar yang melanda negara pada 2014 yang berlaku punca kerakusan manusia.

“Amat sedih apabila kita masih belum belajar daripada fenomena musibah banjir lumpur besar 2014 akibat kerakusan manusia mengejar keuntungan jangka pendek.

“Hingga sanggup mencurangi amanah Allah dengan melakukan pembalakan dan penerokaan tanah secara haram bagi tujuan pertanian sehingga menyebabkan banjir besar melanda negeri di pantai timur,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: