Hujan berterusan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dijangka bermula 30 Disember hingga 3 Januari
KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan membuat ramalan cuaca signifikan bagi tempoh seminggu bermula 29 Disember hingga 4 Januari tahun hadapan.
Dalam satu kenyataan, MetMalaysia berkata, ramalan itu akan melibatkan beberapa negeri di semenanjung serta Sabah dan Sarawak.
“Berdasarkan analisis yang dilakukan, luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 3 Januari 2022.
“Pembentukan awan hujan aktif di Laut China Selatan dan Laut Sulu berpotensi menyebabkan berlakunya hujan berterusan di timur Sabah sehingga 2 Januari manakala di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dijangka berlaku bermula 30 Disember hingga 3 Januari,” katanya.
Sementara itu, angin kencang dan laut bergelora sedang berlaku di perairan Pantai Timur Semenanjung, Sarawak dan Sabah dan diramal berterusan bagi tempoh enam hari bermula hari ini.
“MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada melibatkan negeri Sabah, Pantai Timur Semenanjung dan Johor,” katanya.
Pada masa sama, jabatan itu menasihatkan orang ramai untuk sentiasa merujuk laman rasmi MetMalaysia untuk perkembangan cuaca terkini dan membuat semakan lokasi sekiranya disenaraikan dalam kategori amaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan