MALAYSIA POST
KERTAS siasatan membabitkan pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew berhubung kes gangguan seksual telah lengkap dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada pejabat itu untuk arahan selanjutnya.
“Kita sedang menunggu maklum balas daripada AGC dan sedikit masa lagi akan mendapat keputusan arahan selanjutnya berkaitan kes itu.
“Bagaimanapun kita juga meminta mereka yang mempunyai maklumat tambahan supaya dapat tampil membantu siasatan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Abd Jalil berkata pada masa ini tiada keperluan untuk meletakkan Ebit dalam senarai notis merah Polis Antarabangsa (Interpol).
“Buat masa ini biarlah dia melakukan kerja kebaikan di luar negara kerana itu haknya. Jika dia ikut peraturan di negara terbabit ia tidak menjadi menjadi kesalahan,” katanya.
Sebelum itu, siasatan terhadap pendakwah terkenal, Ebit, 37, dilakukan selepas polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.
Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ebit Lew dirakam percakapan sebanyak dua kali membantu siasatan mendakwa dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.- Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan