Khamis, 30 Disember 2021

Sukarelawan Silat Cekak Pusaka Hanafi bersama APM, NGO bantu mangsa banjir

PERSEKUTUAN Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia (Pusaka Hanafi Malaysia) telah menghantar kumpulan sukarelawan dalam misi bantuan pasca banjir ke Taman Langat Utama 2, Banting, Selangor, baru-baru ini.

Misi bantuan yang disertai 40 orang sukarelawan tersebut turut mendapat kerjasama beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari Negeri Johor.

Pasukan sukarelawan telah membersihkan rumah penduduk dan membawa pelbagai barangan sumbangan berjumlah hampir 10 tan seperti pakaian, keperluan peralatan elektrik, makanan dan kelengkapan rumah yang lain untuk diberikan kepada penduduk yang terjejas.

Misi tersebut bertujuan membantu mangsa banjir dan pada masa yang sama ingin menunjukkan kepada semua pihak bahawa kerjasama strategik antara NGO dan agensi kerajaan amat penting ketika berlakunya bencana.

Setiausaha Agung Pusaka Hanafi Malaysia merangkap koordinator misi bantuan, Muhammad Arif Yakub berkata, NGO dan agensi kerajaan saling memerlukan antara satu sama lain.

“Tiada istilah NGO lebih baik dari kerajaan mahupun sebaliknya dalam usaha membantu rakyat. Misi hari ini mencapai objektifnya di atas kerjasama erat Pusaka Hanafi Malaysia dan APM,” katanya dalam kenyataan akhbar.

“Ketika ini, Pusaka Hanafi Malaysia juga telah menggerakkan pasukan sukarelawan kami di beberapa buah kawasan termasuklah di Hulu Langat, Shah Alam, Klang, dan juga Bentong, Pahang bagi memberi bantuan tenaga kerja dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir”, katanya lagi.

“Kami berasa amat bersyukur dan berterima kasih di atas bantuan yang diterima. Inilah kumpulan NGO pertama yang masuk memberi bantuan selepas air surut pada petang semalam dan kawasan kediaman kami boleh diakses masuk,” kata wakil penduduk, Mohd Afzan Norizan.

Antara NGO yang hadir dalam misi ini ialah Gabungan NGO Prihatin Johor, Persatuan Kebajikan Ekonomi Islam Melayu Bumiputera Negeri Johor, Melana Emergency Response Team, Skuad Wanita Melana Indah dan Pertubuhan Elit Group Johor.

Pihak Pusaka Hanafi Malaysia turut mengalu-alukan sumbangan berterusan masyarakat bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang masih terkesan.

Sumbangan anda boleh disalurkan terus kepada Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia (Cawangan Selangor) seperti maklumat yang tertera berikut:
Nama Bank : Maybank Islamic
No. Akaun : 5621 4241 9588
Rujukan : Dana Prihatin Banjir

Tiada ulasan: