ARAU: Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan perlu sentiasa dilaksanakan bagi mengelak meletusnya kembali pandemik Covid-19 khususnya dengan kemunculan varian baharu dibimbangi (VOC) Omicron.
Dalam masa sama, Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura UUM (UUM-ITS), Dr. Kamarul Azman Khamis berharap varian Omicron segera dapat dikekang daripada meletus khususnya melalui kaedah pencegahan dan vaksin termasuk menerima dos penggalak.
Katanya, meskipun kes Covid-19 di negara semakin menunjukkan penurunan, rakyat sama sekali tidak boleh alpa sebaliknya perlu sentiasa kekal mematuhi SOP.
“Satu kaedah atau memperketat SOP dan kawalan perlu dilaksanakan bagi mengelak berlakunya sekali lagi penularan Covid-19 seperti tahun lalu yang mana rakyat terpaksa berada di rumah dengan pergerakan terhad selain ekonomi merundum apabila pelbagai sektor dan industri tidak dapat beroperasi.
“Diharapkan rakyat terus membantu dengan terus mematuhi SOP dan ikutilah langkah-langkah yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Malaysia merekodkan kes pertama positif varian yang dibimbangi VOC Omicron melibatkan seorang pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, individu itu adalah seorang pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak, tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu.
Tambah Kamarul Azman, suntikan vaksin sangat penting bagi mengelak penularan wabak Covid-19 yang sudah memasuki tahun kedua.
Dalam pada itu, katanya, keberkesanan langkah yang diambil kerajaan berjaya mengelak tercetuskan kes melalui varian VOC Omicron.
“Kita dapat saksikan kerajaan secara terus menerus mempergiatkan usaha untuk meningkatkan jumlah peratusan lengkap dua dos suntikan bagi populasi keseluruhan rakyat di negara ini serta mensasarkan sehingga 75 peratus untuk dos penggalak,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan