Selasa, 28 Disember 2021

KKM belum bercadang sekat pelaksanaan umrah – KJ

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) belum bercadang menyekat pelaksanaan umrah dalam kalangan rakyat Malaysia walaupun terdapat kes varian Omicron tinggi dalam kalangan jemaah yang pulang daripada Tanah Suci.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebaliknya berkata, KKM sedang memantau situasi semasa mengenai kes Omicron di Arab Saudi sebelum membuat keputusan.

Menurut beliau, menangguhkan pelaksanaan umrah adalah langkah terakhir dengan KKM akan melakukan kaedah meningkat serta mengetatkan langkah-langkah terlebih dahulu.

“Buat masa ini walaupun ada peningkatan kes mendadak di Arab Saudi, kita sedang pantau. Kita lakukan kaedah tingkatkan langkah kawalan dahulu.

“Sekiranya keadaan di Arab Saudi merosot dan penularan daripada mereka yang kembali daripada mengerjakan umrah nanti adalah paras membimbangkan, kita tingkat lagi langkah dengan memastikan mereka dikuarantin di pusat kuarantin.

“Selepas itu baru kita tangguh umrah tapi belum sampai tahap itu lagi. Kita laksanakan langkah awal (preemptive) tetapi tidak terburu-buru,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, KKM akan memaklumkan kepada syarikat pelancongan yang menguruskan ibadah umrah supaya memastikan hanya individu telah menerima dos penggalak dibenarkan mengerjakan ibadah tersebut.

Pada masa sama, Khairy turut menggalakkan individu yang pulang daripada mengerjakan umrah untuk melaksanakan ujian kendiri setiap hari selama tempoh kuarantin.

“Banyak kes yang telah kita terima di mana mereka negatif semasa ujian pra pelepasan, negatif ujian semasa ketibaan tetapi positif sewaktu ujian pada hari kelima.

“Maksudnya mereka dijangkiti tetapi tidak dapat dikesan semasa ujian pra pelepasan dan ujian semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa.

“Itu adalah benda baharu yang kita belajar tentang Omicron sebab itu sangat penting untuk kita galakkan sesiapa yang telah balik daripada negara berisiko tinggi terutama melaksanakan umrah untuk melaksanakan ujian kendiri setiap hari supaya tak menjangkiti ahli keluarga di rumah,” jelas beliau.

Tiada ulasan: