Tempoh antara dos kedua dan suntikan penggalak untuk kedua-dua vaksin itu pada asalnya ditetapkan selama enam bulan.
Kementerian kesihatan (KKM) memutuskan sela masa pengambilan dos penggalak bagi penerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca (AZ) adalah sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima dos kedua vaksin tersebut.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keputusan diambil ekoran hasil data kajian melibatkan 21 juta pemberian dos penggalak yang dijalankan di United Kingdom (UK), menunjukkan keputusan yang meyakinkan.
Sejajar dengan kajian itu, beliau berkata, badan regulatori seperti di UK, Kanada dan Australia serta panel pakar kesihatan kini mengesyorkan sela masa bagi penerimaan vaksin dos penggalak diberi seawal tiga bulan selepas dos kedua vaksin primer.
“Kumpulan kerja teknikal juga telah menilai bukti sedia ada dan memberi saranan baru mengenai dos penggalak Covid-19.
“Oleh demikian, di Malaysia, kita telah buat keputusan bahawa sela masa bagi vaksinasi dos penggalak bagi vaksin Pfizer dan AZ boleh diberi sekurang-kurangnya tiga bulan,” katanya pada sidang media secara hibrid, hari ini.
Sebelum ini, KKM memaklumkan sela masa penerimaan dos penggalak bagi penerima vaksin Pfizer dan AZ adalah sehingga enam bulan manakala penerima vaksin Sinovac adalah 3 bulan.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, KKM akan memberi janji temu kepada mereka yang layak berdasarkan kepada keutamaan mengikut usia dan status kesihatan.
Katanya, KKM turut menjangkakan bahawa sebahagian besar daripada golongan dewasa di Malaysia yang layak akan menerima suntikan dos penggalak pada Januari dan Februari depan.
“KKM akan meningkatkan kapasiti pemberian vaksin dengan pembukaan lebih banyak lagi pusat pemberian vaksin (PPV) sama ada di klinik swasta atau PPV yang akan dibuka tidak lama lagi di dewan persidangan seperti yang dilakukan ketika Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini.
“Dalam usaha kita memberi temu janji, kita akan guna senarai keutamaan kepada mereka yang berusia dan mereka yang mempunyai penyakit kronik,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan