Jumaat, 31 Disember 2021

Jangkitan naik di 13 negeri, 442 mangsa banjir positif Covid-19


Tiga belas negeri hari ini merekodkan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, dengan Sabah mencatat kenaikan empat hari berturut-turut.

Hanya tiga negeri, Perlis, Pahang dan Kelantan mencatat penurunan kes baharu hari ini.

Peningkatan jangkitan di Sabah bermula 27 Disember lalu sebanyak 125 kes berbanding 108 pada 26 Disember, diikuti 168 kes (28 Disember); 192 (29 Disember); dan hari ini sebanyak 226 kes.

Sejak awal tahun lalu hingga hari ini Sabah mencatat 240,301 kes positif, dengan sehingga semalam seramai 233,009 pesakit disahkan sembuh, 2,775 kematian, dan 4,291 kes aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 3,657 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 296 ditempatkan di PKRC; 305 dimasukkan ke hospital; dan 33 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 10 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, seramai 2,387,154 atau 61.1 peratus populasi Sabah telah lengkap divaksinasi, 62.6 peratus atau 2,446,016 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 203,284 individu menerima suntikan dos penggalak.

Lapan daripada 408 kluster dilaporkan masih aktif di negeri itu, dengan empat daripadanya melibatkan pendidikan; tempat kerja (tiga); dan satu kluster import, yang keseluruhannya membabitkan 385 individu.

Bagi negeri-negeri lain, Selangor mencatat 965 kes baharu berbanding 962 semalam diikuti Johor (433 kes baharu, 429 semalam); Kedah (328 kes baharu, 236 semalam); Terengganu (243 kes baharu, 193 semalam); dan Kuala Lumpur (241 kes baharu, 224 semalam).

Melaka pula mencatat kenaikan daripada 101 kes semalam kepada 239 kes hari ini, diikuti Perak (209 kes baharu, 173 semalam); Pulau Pinang (207 kes baharu, 178 semalam); Negeri Sembilan (161 kes baharu, 118 semalam); Putrajaya (25 kes baharu, 22 semalam); Sarawak (24 kes baharu, 23 semalam); dan Labuan (10 kes baharu, tujuh semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi sebanyak 366 lagi kes import dikesan membabitkan 335 warga tempatan dan 31 rakyat asing.

Sejak kerajaan membuka semula pintu sempadan negara lebih sebulan lalu, kes import didapati meningkat setiap hari dan sehingga kini keseluruhan kes import yang dilaporkan adalah sebanyak 7,958 kes.

Katanya, sebanyak 3,631 kes lagi melibatkan penularan tempatan yang turut membabitkan 115 rakyat asing.

Beliau juga memaklumkan dalam tempoh 24 jam itu seramai 3,984 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif pulih sebanyak 2,681,390 kes atau 97.3 peratus daripada 2,754,513 kumulatif kes positif.

“Sehingga kini seramai 281 pesakit masih dirawat di ICU, dengan 155 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Menurutnya tiga kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhannya 6,123 kluster dengan 5,902 telah ditamatkan dan 221 lagi masih aktif.

Mengenai banjir, Dr Noor Hisham berkata sehingga jam 3 petang tadi, daripada 6,348 mangsa banjir, 442 disahkan positif dengan 15 daripadanya membabitkan individu yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

“Pada 30 Disember 2021, sebanyak 71 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir, menjadikan keseluruhannya 1,948 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya jangkitan saluran pernafasan akut mencatat kes tertinggi iaitu sebanyak 1,182; diikuti penyakit kulit (522 kes); Acute Gastroenteritis (238 kes); dan penyakit tangan, kaki dan mulut (enam kes).

Tiada ulasan: