MALAYSIA POST
KEPALA air selepas hujan lebat dikenal pasti punca longgokan sisa pokok balak terdampar di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Karak, Bentong hingga menyebabkan laluan terbabit ditutup beberapa hari.
Arus deras itu datang dari Sungai Kerau, selepas hujan lebat turut membawa bersama balak hanyut di jambatan Sri Telemong Jalan Karak-Pelangai, berhampiran kawasan itu.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata pihaknya melakukan siasatan di tempat kejadian bagi mencari punca berlakunya kejadian balak dan sisa pokok hanyut di dua tempat terbabit.
Menurutnya, hujan lebat selama tiga hari berturut-turut bermula 16 Disember lalu menyebabkan paras air Sungai Temeriak meningkat secara luar biasa hingga berlakunya kejadian kepala air.
Katanya, peningkatan paras air sungai menyebabkan kadar kelajuan sungai terbabit menjadi amat tinggi, ditambah dengan sungai menuruni bukit mengakibatkan impak kepala air yang lebih kuat hingga membawa sisa kayu, pokok besar serta kejadian tanah runtuh.
“Pemantauan udara menggunakan dron telah dilakukan. Kita dapati tidak ada sebarang aktiviti pembukaan hutan di dalam Hutan Simpan Lentang.
“Kawasan Hutan Simpan Lentang dikelaskan sebagai Hutan Tadahan Air yang diwartakan semenjak 2002,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Mohd Hizamri berkata, kepala air yang berlaku turut berpunca daripada Sungai Kerau dan Sungai Timbul yang mengalir dari hutan Simpan Lentang yang kemudiannya melalui kawasan tanah milik sebelum tersangkut di jambatan.
Beliau berkata, antara bukti tidak ada aktiviti pembalakan di kawasan terbabit ialah pokok pelbagai saiz tumbang dan hanyut selepas tercabut bersama akar dan tidak ada kesan tebang.
Katanya, penduduk di kawasan terbabit turut melihat kejadian kepala air yang begitu deras dan menghanyutkan bersama balak termasuk sisa pokok.
“Saya berharap masyarakat tidak terus menyalahkan kerajaan dalam hal ini kerana kita sentiasa berusaha menjaga alam sekitar serta kepentingan masyarakat setempat.
“Kejadian banjir yang berlaku minggu lalu dianggap luar biasa berikutan hujan yang berlaku selama tiga hari berturut-turut,” katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Sri Telemong, Yeong Onn Hong berkata, arus air deras membawa bersama sisa pokok yang patah dan tercabut seterusnya tersekat dekat jambatan Kampung Sri Telemong.
“Di kawasan ini tidak terdapat aktiviti pembalakan dan sebagai penduduk setempat saya memberi jaminan kejadian balak hanyut disebabkan kepala air yang terlalu deras,” katanya.- Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan