Khamis, 30 Disember 2021

Siasat timbunan kayu di Sungai Telemong-Najib

MALAYSIA POST

Siasat timbunan kayu di Sungai Telemong-Najib

DATUK Seri Najib Razak menggesa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyiasat segera penemuan timbunan kayu balak di Sungai Telemong, Bentong pada minggu lalu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata timbul persoalan bagaimana balak sebanyak itu boleh dihanyutkan ke sungai itu yang menjadi punca kejadian banjir di kawasan sekitarnya.

“Sedih melihat gambar-gambar seperti ini. Dari mana datangnya balak begitu banyak itu sehingga menyebabkan bencana banjir lumpur bercampur batang kayu hanyut di pekan Karak di Bentong, minggu lalu?

“Harap Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan menyiasat sepenuhnya,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan berkata Kerajaan Negeri sedang menunggu laporan lengkap siasatan daripada JPNP berhubung perkara tersebut.

Pada Khamis lalu, beberapa pengguna laman sosial Facebook memuatkan naik video berdurasi 45 saat mengenai timbunan sisa balak di Sungai Telemong selepas kejadian banjir yang berlaku pada 18 Disember lalu.

Susulan itu, pihak tertentu mendakwa kewujudan timbunan sisa kayu termasuk bersaiz kayu balak itu berpunca daripada kegiatan penerokaan hutan secara haram di kawasan terbabit.

Dalam bencana banjir itu, lima mangsa dilaporkan meninggal dunia, seorang masih hilang dan 10 lagi selamat apabila lima kereta dihanyutkan arus deras selepas terperangkap di atas jambatan merentasi Sungai Telemong. – Malaysiapost

Tiada ulasan: