Khamis, 30 Disember 2021

JKM diminta siasat status kanak-kanak bawah jagaan Muhammad Sajjad: PPMM

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

Tak adil dibiar begitu saja tanpa pembelaan JKM atau Majlis Agama Islam Negeri

BANGI – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diminta menyiasat kedudukan kanak-kanak yang dipelihara usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, mereka perlu menyiasat status kanak-kanak tersebut sama ada terdapat perintah pengangkatan atau pun tidak.  

Tegasnya, JKM juga perlu membuat penilaian terhadap kebajikan kanak-kanak tersebut setelah ditinggalkan Muhammad Sajjad. 

“Dalam isu mengenai jagaan kanak-kanak, kebajikan kanak-kanak itu adalah perkara yang paling penting. Jika kanak-kanak ditinggalkan oleh mana-mana ibu bapa, pasti kebajikan tersebut terhakis dan hal yang demikian tidak baik untuk tumbesaran kanak-kanak tersebut. 

“Memberikan dana kewangan dan tempat tinggal sahaja tidak mencukupi kerana layanan kasih sayang ibu bapa juga sangat penting.

“Apatah lagi dalam keadaan yang dilaporkan beberapa aset Muhammad Sajjad sudah pun dilelong oleh pihak tertentu. Hal ini boleh menggambarkan tiada jaminan untuk nafkah kanak-kanak tersebut ditiggalkan untuk mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, jika kebajikan itu dihakis, JKM perlu bertindak tegas dan pantas bagi mengelakkan kesan jangka panjang kepada kanak-kanak tersebut.

Pada masa sama, Majlis Agama Islam yang berkenaan juga perlu memainkan peranan kerana kanak-kanak tersebut adalah kanak-kanak beragama Islam.

“Terdapat peruntukan di dalam Undang-Undang Keluarga Islam yang menyatakan demi kebajikan kanak-kanak tersebut, mereka boleh diletakkan di dalam jagaan mana-mana orang atau badan yang sesuai. 

“Dalam konteks ini suatu perintah dari mahkamah syariah perlu diperolehi terlebih dahulu,” katanya.

Membuat kesimpulan perkara ini, Zainul Rijal menegaskan, kanak-kanak tersebut tidak melakukan apa-apa kesalahan dan berhak mendapat perlindungan undang-undang yang ada demi masa depan mereka. 

“Tidak adil kanak-kanak tersebut dibiarkan begitu sahaja tanpa pembelaan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau pun Majlis Agama Islam Negeri,” katanya.

Sajjad mengesahkan dirinya sudah berada di Australia pada 18 Oktober lalu.

Sajjad menyatakan bahawa dia sudah pun secara rasmi berhijrah ke negara itu dengan bantuan Kerajaan Australia selepas berbulan-bulan menjadi buruan pihak berkuasa Malaysia.

Difahamkan, Sajjad mempunyai sepasang anak angkat iaitu Syahmi dan Syaza berusia dua tahun yang kini di bawah jagaan ibu bapanya.

Tiada ulasan: