Khamis, 30 Disember 2021

Banjir: 14 buah daerah di 5 negeri masih terjejas

 Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Lima buah negeri membabitkan 14 buah daerah masing-masing di Kelantan, Pahang,
Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor masih terkesan dengan banjir setakat hari ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi satu kenyataan berkata, setakat tengah hari tadi, seramai 9,414 orang mangsa daripada 2,708 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan masih berlindung di 93 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menurutnya, ia menjadikan jumlah kumulatif mangsa terkesan bencana banjir di seluruh negara adalah seramai 116,273 orang daripada 31,949 KIR.

“Sehingga jam 2 petang tadi, operasi banjir seluruh negara melibatkan keanggotaan 40,813 orang anggota agensi responder menggunakan sejumlah 3,419 gabungan aset pelbagai agensi.

“Bagi edaran bekalan makanan pula, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuat 465,092 pek makanan berbungkus yang disediakan sebanyak tiga kali sehari termasuk keperluan asas kepada mangsa-mangsa yang terkesan banjir,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Nadma berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) turut melaporkan 121 insiden tanah runtuh telah dilaporkan berlaku di seluruh negara sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022 sehingga ke hari ini.

“Pihak JMG telah dan sedang mengambil tindakan yang sewajarnya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM).

“JMG dan JKR telah diminta untuk menyelaras pelaporan tanah runtuh supaya ianya lebih menyeluruh dan turut melibatkan kawasan cerun di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Selain itu, kerajaan komited dalam memastikan kelancaran usaha-usaha pasca bencana dapat dilaksanakan dengan lancar antaranya aktiviti-aktiviti pembersihan, bekalan elektrik dan air, pembaikan pencawang elektrik dan menara telekomunikasi serta perkhidmatan pembentungan. – K! ONLINE

Tiada ulasan: