WARTA RAKYAT
MEMBAYANGKAN mangsa-mangsa banjir yang terperangkap dan kesejukan di atas bumbung rumah ketika paras air sudah mula menenggelami sebahagian rumah mereka sememangnya satu perkara yang meluluhkan hati.
Kisah seorang mangsa banjir di Seksyen 25 Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor, memang menyayat hati apabila terperangkap tdi atas pokok selama tiga jam pada 19 Disember lalu, ketika paras air pada ketika itu sudah semakin tinggi.
Bercerita kembali kepada SatuBerita pengalaman yang disifatkan seperti mimpi ngeri itu, Mohd. Rizzainudden Md. Husin, 43, berkata, pada petang itu, dia baru sahaja memindahkan sebuah kereta miliknya di Masjid Besar Taman Sri Muda.
“Saya letak kereta di situ kerana sangkakan kawasan masjid tak akan tenggelam. Pada ketika itu, air baru sahaja mencecah paras pinggang. Namun, ketika saya dalam perjalanan pulang, air sudah naik pada paras hidung saya.
“Saya kemudian mula berenang sedikit demi sedikit menuju ke rumah saya. Namun, saya sudah tidak larat dan kaki mula kekejangan ketika sudah menghampiri rumah Terus saya panjat dan tunggu di atas pokok itu,” katanya ketika ditemui SatuBerita.
Anak kelahiran Negeri Melaka ini menambah, sebelum itu, dia hanya bergantung kepada sebuah kotak polisterina kecil untuk berenang sehingga ke pokok berkenaan.
Walaupun jarak antara pokok itu dengan rumahnya hanya kira-kira 60 meter, namun dia bimbang dihanyutkan air kerana terdapat parit yang besar di antara pokok itu dan rumahnya, selain faktor keletihan.
“Kalau saya teruskan berenang, mungkin saya sudah tiada hari ini. Tahu-tahu orang jumpa mayat saya sahaja di hujung parit sana,” katanya.
Rizzainudden berkata, dia juga menjerit meminta tolong kepada bot penyelamat dari jabatan Bomba dan polis, tetapi tidak dipedulikan kerana mereka mengutamakan mangsa yang terperangkap di atas bumbung rumah.
“Saya panggil mereka namun mereka suruh saya tunggu dahulu. Saya menggigil kesejukan dengan angin yang kuat di atas pokok itu. Saya ni bukan nyawa kah? Saya mahu ke seberang situ sahaja,” luahnya dengan rasa kecewa.
Detik ngeri tersangkut di atas pokok itu berakhir apabila tiga lelaki yang menaiki bot persendirian menyelamatkannya sekitar jam 3 pagi.
“Saya nampak mereka dari jauh, saya mula keluarkan telefon bimbit saya yang simpan dalam kotak biskut kecil dan saya nyalakan lampu suluh bagi memberikan isyarat.
“Alhamdulillah mereka nampak saya. Mereka datang ke arah saya, dan saya berpaut pada bot mereka. Sampai sahaja di rumah, saya panjat masuk menerusi satu lubang kecil yang terletak di tingkat atas rumah. Barulah saya dapat jumpa anak dan isteri saya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan