MALAYSIA POST
AHLI Parlimen pembangkang menuntut Suruhanjaya Khas untuk menyiasat mengenai pengurusan banjir diuruskan kerajaan kerana disifatkan membingungkan.
Seramai 77 Ahli Parlimen tersebut diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta laporan banjir dibentang di Parlimen bagi menjelaskan kelemahan kerajaan bagi menangani situasi bencana itu khususnya di Selangor.
“Bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini adalah peringatan menyedihkan bahawa kita harus sentiasa bersedia untuk kejadian iklim yang luar biasa seperti itu.
“Ketidaksediaan kerajaan untuk menangani akibatnya dan tidak mempunyai rancangan yang bersedia untuk mengurangkan bencana adalah membingungkan.
“Sungguh mendukacitakan bahawa 46 nyawa terkorban di Selangor dan Pahang setakat ini kerana ketidakberkesanan dan sikap kerajaan Persekutuan yang tidak berdaya,” menurut kenyataan bersama itu.
Menurut kenyataan itu, terdapat juga masalah komunikasi antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor dalam menangani misi mencari dan menyelamat.
Selain itu katanya, terdapat media melaporkan bahawa angkatan tentera mengerahkan diri mereka sendiri, oleh kerana banjir telah terlalu tinggi untuk terus menunggu arahan pihak atasan.
“Jadi ini membimbangkan rakyat kerana daripada menyelamatkan nyawa, kerajaan Persekutuan memilih untuk bermain politik kecil.
“Terdapat 32 menteri dalam Kabinet tetapi bukannya mengerahkan diri mereka untuk membantu rakyat, mereka sebaliknya berpura-pura “membantu” untuk peluang bergambar,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, menurut kesemua Ahli Parlimen tersebut, memandangkan kini keadaan banjir telah surut di kebanyakan tempat, maka perlu ada bedah siasat menyeluruh tentang apa yang salah, dan yang mana bidang penambahbaikan perlu ditangani.
Justeru, katanya, mereka bersetuju dengan beberapa cadangan dikemukakan Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY) dan sekumpulan 44 masyarakat awam dan individu Malaysia.
Cadangan itu, antara lain kerajaan perlu mengisytiharkan banjir sebagai bencana negara, selain harus memulakan dasar pro-iklim seperti pelan penyesuaian nasional, pelan pengurangan risiko bencana dan mendesak pendakwaan lebih tinggi bagi mereka yang menyumbang kepada perubahan iklim seperti penebangan hutan.
“Kerajaan Persekutuan juga harus melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk ahli pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil untuk membangunkan pelan holistik untuk mengurangkan bencana serta kesan alam sekitar bergerak ke hadapan.
“Kerajaan perlu bertindak pantas! Kita perlu mengelak kehilangan nyawa yang tidak perlu disebabkan oleh ketidakcekapan, kelewatan dan kecuaian yang boleh dielakkan dari awal.
“Jadi, sebagai Ahli Parlimen kami menuntut supaya membentuk suruhanjaya khas untuk menyiasat pengurusan banjir dan laporannya mesti dibentangkan di Parlimen,” katanya.- Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan