Rabu, 29 Disember 2021

Ayob Khan tegur KPD, jangan masih di kepompong lama

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

lapan amang

KETUA Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menegur Ketua Polis Daerah (KPD) di negeri itu dan mahukan mereka bekerjasama dengan pihak media bagi memastikan berita disampaikan kepada masyarakat awam adalah benar.

Beliau berkata, kerjasama tersebut penting terutama apabila melibatkan fakta tidak betul terhadap mana-mana cerita atau berita terutama yang tular dalam media sosial hingga mengelirukan orang ramai.

Menerusi kerjasama itu katanya, diharap media membetulkan kembali fakta salah yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kalau kita (polis) masih di kepompong lama, media tidak akan dapat fakta yang betul dan apa yang ditularkan tidak dapat diperbetulkan.

“Jadi kalau media telefon, jawab. Maklumkan apa yang betul (fakta), komunikasilah dengan media,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Ketua Polis Johor bersama Media Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

Katanya, zaman sekarang adalah zaman persepsi dan Ketua Polis Daerah perlu memastikan hubungan bersama-sama media rasmi itu rapat, selain berkongsikan fakta yang tepat terutama membabitkan isu yang ditularkan.

“Apa yang boleh dikongsikan, kongsi. Tidak rugi pun. Mereka (media) hanya jalankan kerja. Kita (polis) pun mahu memastikan masyarakat dapat fakta yang betul. Kalau kita menjauhkan diri, kita akan mengalami kesukaran.

“Yang sepatutnya kongsi dengan media kita tidak kongsi. Kita pula yang cakap dengan orang luar, kita kongsi pada orang yang tidak sepatutnya kita beri kerana sebenarnya apa yang dikongsikan media rasmi akan bantu masyarakat khususnya polis,” katanya.

Ketajaman penulisan itu katanya, boleh menjatuhkan atau membangunkan sesebuah negara atau membangunkan seseorang individu mahupun personaliti seseorang.

Tiada ulasan: