Jumaat, 31 Disember 2021

Lanjutan pengeluaran i-Citra: Kerajaan perlu ada ‘political will’ – Zahid

AMRI

Lanjutan pengeluaran i-Citra: Kerajaan perlu ada ‘political will’ – Zahid 

UMNO berharap masih ada ruang buat kerajaan membenarkan lanjutan pengeluaran skim i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau seterusnya meminta kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar tidak menutup sepenuhnya ruang untuk pengeluaran i-Citra di kala rakyat merintih akibat kesan Covid-19 dan banjir. 

Rakyat yang menjadi mangsa banjir, ditimpa bencana tanah runtuh, masih dalam kesempitan kesan darurat dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) separuh masak yang lepas. 

“Jika Menteri Kewangan memberi nasihat sebaliknya kepada kerajaan, Kabinet telitilah dengan mendalam terlebih dahulu. 

“Perlu ada “political will” kerana rakyat yang baru terjejas atau sekian lama terkesan perlukan wang untuk perbaiki keadaan mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. 

Ahmad Zahid berkata sebelum ini menteri sama memberi pelbagai alasan, namun terbukti ia boleh dilakukan selepas desakan demi desakan. 

“Berdasarkan respons di media sosial, rakyat tidak “prefer” membuat pinjaman dan mahu menggunakan dana sendiri.  

“Mereka tidak bersedia untuk berhutang apatah lagi dengan menambah hutang. Sebahagiannya susah dan tidak mampu pun membayar hutang yang sudah sedia ada.  

“Tempoh enam bulan atau setahun penangguhan bayaran balik tetap bermakna mereka sudah menambahkan lagi bebanan hutang. Tidak ubah seperti gali lubang tutup lubang. Pinjam wang bayar hutang,” katanya lagi. 

Namun kata Ahmad Zahid, jika itu sahaja pilihan yang ada, maka apakan daya mungkin ramai terpaksa menambah hutang. 

“Sedangkan sebahagian rakyat mahukan penambahan skim i-Citra adalah bagi mengurangkan bebanan hutang. Justeru jangan disulitkan keperluan rakyat kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan,” katanya. 

Baru-baru ini Ismail Sabri Menteri dilaporkan berkata, kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang caruman KWSP berjumlah RM10,000 meskipun ramai mangsa terjejas dengan banjir ketika ini.  

Perdana Menteri berkata ini kerana kerajaan telah memperuntukkan dana dan bantuan mencukupi untuk membantu mangsa banjir, selain sedia menambah peruntukan tersebut.  

Beliau juga menjelaskan kerajaan bimbang jika ia dibenarkan, baki simpanan pencarum akan terus berkurangan selepas kerajaan dua kali membenarkan pengeluaran KWSP menerusi i-Sinar dan i-Citra. – Malaysiapost

Tiada ulasan: