PARIT BUNTAR: Penduduk Taman Melor di sini bimbang kesihatan mereka terancam kerana terpaksa menyedut habuk kekuningan dipercayai daripada kilang kawasan perindustrian di situ selain menghidu bau busuk, sejak lebih setahun lalu.
Penduduk berkata habuk kekuningan itu melekat di perabot rumah dan kenderaan selain mereka terpaksa bernafas menghidu bau busuk dan menyebut habuk.
Penduduk, Nur Ikram Bahari, 35, berkata beliau sudah membuat beberapa aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) namun masalah itu masih lagi berlarutan.
Menurutnya kesan ketara asap dan habuk itu melekat pada kereta dan persekitaran rumah penduduk.
"Setiap dua hari kami kena mencuci kesan habuk pada kereta, motosikal dan persekitaran rumah.
"Malah kami terpaksa menutup rapat setiap pintu dan tingkap rumah bagi memastikan bau asap dan habuk kuning itu masuk ke dalam rumah.
"Selain itu kami bimbang tahap kesihatan khususnya anak-anak kecil terjejas dan sepanjang setahun mendiami taman ini, amat jarang kami beriadah di luar rumah kerana masalah yang dihadapi ini," katanya ditemui media.
Menurutnya antara kesan sampingan yang terjadi kepada penduduk adalah kerap bersin dan batuk.
Tambahnya pihaknya amat berharap perkara itu dapat diselesaikan segera pihak berkaitan.
Penduduk lain, Mohamad Rahim Saari, 44, berkata taman itu ada 15 rumah dan hampir setiap hari penduduk terpaksa membersihkan kotoran habuk yang melekat di kenderaan.
"Mana larat nak cuci setiap hari. Jika upah pula kosnya sekitar RM50 sekali cuci.
"Habuk kuning ini terhasil dari lepasan asap dari kilang di sini dan ia jelas dapat dilihat pada waktu malam.
"Aduan dah dibuat berkali-kali dan diakui wakil JAS ada datang buat tinjauan, namun perkara sama tetap berlaku," katanya.
Dalam pada itu JAS dalam surat maklum balas kepada penduduk yang dilihat Berita Harian yang diterima pada 29 Januari lalu memaklumkan hasil pemeriksaan jabatan itu pada 15 Januari 2020, mendapati berlaku masalah pasa alat kawalan pencemaran udara kilang di situ.
JAS juga memaklumkan kepada penduduk ia mengeluarkan satu Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 supaya premis itu menjalankan penyelenggaraan terhadap alat kawalan pencemaran udara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan