Selasa, 7 Disember 2021

Rempuh lori diletak di bahu jalan, pengurus bank maut tersepit

Oleh NOR AINNA HAMZAH

 KEADAAN kemalangan di Kilometer 22.5 Jalan Tampin-Gemas berhadapan Gemencheh Granite, di Tampin, Negeri Sembilan, awal pagi ini.

TAMPIN:  Seorang pengurus bank maut selepas kereta yang dipandunya terlibat kemalangan di Kilometer 22.5 Jalan Tampin-Gemas berhadapan Gemencheh Granite, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, M. Arumugam, 40, beralamat di Cheras, Selangor disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintenden, Amiruddien Sariman berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu mangsa dengan sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Tampin menghala ke Gemas. Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah terbabas ke bahu jalan sebelah kiri laluannya dan melanggar bahagian hadapan sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan tersebut.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta  meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tampin bagi proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: