KUALA LUMPUR: Kerajaan dan agensi berkaitan di bawahnya perlu memanfaatkan secara optimum dan efisien teknologi baharu berkaitan sektor pertanian dalam usaha menangani isu kekurangan bekalan hasil tani negara serta kenaikan harga bahan makanan yang membebankan pengguna.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Aliasak Ambia, berkata teknologi yang ada ketika ini dilihat tidak dimanfaatkan sebaiknya dengan pelbagai kelompongan dikesan, sedangkan ia bukan benda baharu.
"Teknologi dalam pertanian bukan perkara baharu, sejak dulu lagi pelbagai penyelidikan dibuat, tapi isunya apabila sampai proses pelaksanaan, praktikaliti tiada. Sebelum buat projek pertanian (guna teknologi terkini), sepatutnya pihak berwajib kenal pasti apa yang ingin ditanam, berapa luas tanah disasarkan untuk setiap negeri.
"Misalnya di Negeri Sembilan, akan tanam hasil tani yang bagaimana, berapa lama tempoh untuk mendapat hasil dan lokasi bersesuaian. Bukannya bila sesak, dengan keadaan negara berdepan kekurangan makanan meruncing dan harga makanan naik, barulah teknologi baharu ingin diperkenalkan," katanya kepada BH.
Beliau mengulas laporan muka depan BH hari ini mengenai Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bakal memperkenalkan model pertanian pintar yang boleh dilaksanakan dalam skala kecil, sederhana atau besar sebagai strategi meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran negara, bermula tahun depan.
Inisiatif itu turut bermatlamat menangani isu kekurangan bekalan sayur, perubahan iklim dan bencana alam, sekali gus membantu menstabilkan harga di pasaran.
Aliasak berkata, satu jawatankuasa khas perlu ditubuh bagi memastikan inisiatif berkenaan dapat digerakkan dan mencapai matlamatnya kerana ada banyak isu perlu dipertimbangkan, antaranya soal pembiayaan, ketersediaan tanah bagi mengusahakan kaedah pertanian itu dan latihan kepada individu atau pihak berminat.
"Ini antara tugas Jabatan Pertanian kerana negara ada fasiliti yang diperlukan, tetapi masalahnya tidak tahu menggunakannya. Jika MARDI hendak buat (perkenal teknologi pitar), ia idea yang baik untuk jangka panjang, tetapi agak terlambat terutama untuk selesaikan krisis yang sedang dihadapi," katanya.
Tegasnya, penelitian semula termasuk pelaksanaan dasar bagi sektor pertanian perlu dibuat secara menyeluruh bagi memastikan setiap strategi yang diperkenalkan dapat memberi manfaat kepada semua pihak.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Dadimur (PPFD) di Taman Desa, Batu Caves, Shiella Tukimin, berkata inisiatif MARDI itu amat dialu-alukan, terutama bagi penduduk dalam kelompok pendapatan 40 peratus terendah (B40) untuk memperoleh pendapatan tambahan melalui aktiviti pertanian.
"Saya amat menyambut baik inisiatif sebegini, namun masalahnya sekarang, isu tanah sering menjadi kekangan terutama bagi kawasan flat. Jika ada tanah sekangkang kera di kawasan komuniti, berilah pelepasan. Sebelum ini kami pernah berurusan untuk guna tanah terbiar bagi projek kebun komuniti.
"Kami pernah minta melalui badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk, tetapi sampai sekarang tidak diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Tanah," katanya menggesa pihak berkuasa bertanggungjawab memudahkan proses permohonan tanah terbiar untuk projek komuniti.
Shiella berkata, ramai berminat untuk mengusahakan projek pertanian kerana mahu menjana pendapatan dengan mengambil kira faktor kelembapan ekonomi semasa, namun ia akan terbantut jika permohonan menggunakan tanah terbiar tidak diluluskan.
Bagi peniaga, Nur Jihan Rozali, 35, isu kos bagi projek tanaman menggunakan teknologi pintar mungkin antara kekangan utama yang perlu ditangani terutama dalam kalangan kelompok B40 dan golongan berpendapatan 40 peratus sederhana (M40).
"Memandangkan inisiatif MARDI ini menggunakan sistem automatik, jadi tentu harganya lebih mahal kerana tidak banyak menggunakan khidmat pekerja dan perlu penjagaan harian sebagaimana kaedah konvensional.
"Kerajaan juga perlu melihat kelompok sasaran bagi merealisasikan strategi ini. Mungkin lebih baik disasarkan kepada golongan peniaga, bukan individu kerana isu utama perlu ada modal dan kedua, mereka boleh menambah pendapatan sampingan dengan menjual kembali sayur-sayuran yang diusahakan," katanya.
Penjawat awam, Azimin Daud berkata, usaha murni itu wajar disokong semua pihak kerana ia secara tidak langsung dapat mengatasi masalah bekalan sayur yang kritikal ketika ini.
"Masyarakat boleh memanfaatkan ruang yang ada di sekitar umah untuk sama-sama menyokong hasrat ini. Sekurang-kurangnya, sayur asas dan mudah ditanam seperti kangkong, bayam, sawi dan salad dapat dinikmati dengan hasil tangan sendiri dan terjamin bersih.
"Bagaimanapun, kerajaan perlu meneliti beberapa perkara antaranya undang-undang strata yang merujuk kepada pengurusan perumahan. Jika rumah ada halaman dan balkoni, mungkin boleh buat, tetapi tetap perlu menanggung risiko antaranya rungutan jiran sekiranya persekitaran tidak dijaga baik," katanya.
Katanya, perlu ada komitmen bersepadu membabitkan semua pihak bagi
memastikan inisiatif MARDI itu mampu dijadikan realiti dan bukan sekadar
projek bermusim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan