Isnin, 6 Disember 2021

Garis panduan elaun latihan industri antara keutamaan KPT

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini. - BERNAMA
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Garis panduan pemberian elaun latihan industri bagi mengelak graduan menjadi buruh paksa yang tidak dibayar upah sewajarnya menjadi antara keutamaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ketika ini, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Katanya, perkara itu juga antara enam perkara yang dipersetujui dilaksanakan dalam perbincangan dengan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

"Sebab itu, kita melaksanakan hubungan yang baik dan sesi libat urus dengan pihak industri bagi memastikan tidak berlaku kes pelajar tidak dibayar elaun latihan industri," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Salim Shariff (BN-Jempol) di Dewan Rakyat, hari ini.

Kepada soalan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (PEJUANG-Sri Gading) mengenai inisiatif KPT dalam menangani isu pelajar latihan industri dibayar elaun rendah, Noraini berkata, kerajaan melalui Bajet 2022 sudah menggesa swasta membayar sekurang-kurangnya RM900 sebulan.

Dalam belanjawan yang sama juga, katanya, kerajaan bersetuju memberikan insentif kepada majikan yang menggaji perantis graduan berusia 18 tahun hingga 30 tahun sebanyak RM900 sebulan bagi tempoh enam bulan.

Selain itu, beliau berkata, pendekatan latihan industri yang berstruktur seperti program dua tahun di universiti dan dua tahun dalam industri (2u2i), Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan (WBL) dan Latihan Industri Berstruktur (SIP), adalah antara mekanisme inovatif lain yang dilaksanakan KPT.

"Dalam menangani masalah elaun pelajar semasa tempoh latihan industri, perlu wujud persetujuan dan kepentingan bersama yang terjalin di antara pihak institusi pengajian tinggi (IPT) dengan syarikat menerusi memorandum persetujuan bersama.

"MOU itu perlu menyatakan dengan jelas peranan, fungsi dan tanggungjawab bersama yang dipersetujui, termasuk penetapan elaun pelajar," katanya menambah elaun RM900 sebulan kepada pelajar yang menjalani latihan industri sudah dilaksanakan sektor kerajaan.

Berdasarkan Surat Edaran Jabatan Perkhidmatan Awam Bilangan 10 Tahun 2011 mengenai Elaun Latihan Amali Pelajar Institusi Pengajian Tinggi di Agensi Kerajaan, katanya, pelajar yang sedang menjalani latihan praktikal di agensi awam dibenarkan menerima elaun RM15 sehari untuk tempoh maksimum tiga bulan.

"Prihatin terhadap kelangsungan hidup pelajar yang sedang menjalani latihan industri serta sebagai langkah penambahbaikan, kerajaan telah mula membayar elaun RM900 sebulan kepada pelajar yang menjalani latihan industri di sektor awam," katanya.

KPT juga, katanya, sentiasa menggalakkan dan menyokong syarikat serta industri memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman dalam persekitaran kerja sebenar dan mengasah kemahiran mereka, sekali gus membantu syarikat mengenal pasti bakat yang boleh diambil bekerja selepas tamat tempoh latihan industri.

Tiada ulasan: