Khamis, 23 Disember 2021

Hujan berterusan diramal di Sabah, Sarawak mulai Isnin ini

Foto hiasan
Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan hujan berterusan berpotensi berlaku di Sabah Timur dan Sarawak Barat susulan luruan monsun, antara Isnin hingga Rabu ini.

MetMalaysia dalam kenyataan ringkas, berkata angin kencang dan laut bergelora diramal berlaku di perairan Laut China Selatan, termasuk kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung, mulai Ahad hingga Rabu ini.

"Kebarangkalian untuk berlaku hujan berterusan di Pantai Timur Semenanjung adalah rendah berikutan paras kelembapan udara rendah.

"Orang awam dinasihat merancang perjalanan ke kawasan berkenaan dan sentiasa peka dengan maklumat terkini serta berwaspada," katanya. 

Dalam kenyataan berasingan, MetMalaysia meramalkan hujan atau ribut petir di satu, dua tempat di pantai Kelantan, Terengganu, Pahang, Kuching, Betong, Mukah, Sarikei, Sibu dan Bintulu di Sarawak serta Kudat, Sandakan dan Tawau di Sabah.

Beralih ke petang hari sama, hujan atau ribut petir diramal berlaku di satu, dua tempat di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Pahang, Sarawak, Pantai Barat dan pedalaman Sabah serta Labuan, manakala kawasan lain mendung atau tiada hujan.

Ramalan hujan di satu, dua tempat di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Limbang, Miri dan Kapit di Sarawak, Tawau, Sandakan, Pantai Barat dan pedalaman Sabah serta Labuan, manakala tiada hujan di lokaliti lain pada malam hari sama.

Tiada ulasan: