Isnin, 1 November 2021

Warga emas terperangkap dalam banjir hanya mampu berdoa

Oleh NUR ANATI JUHARI
HALIJAH Taib diselamatkan anggota bomba dalam kejadian banjir kilat di Kampung Kotan, Mukim Jabi di sini semalam.

ALOR SETAR:  Seorang wanita warga emas yang menghadapi masalah penglihatan hanya mampu berdoa apabila terperangkap di tingkat atas rumahnya dalam kejadian banjir  di Kampung Kotan, Pokok Sena di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, Halijah Taib, 76, sempat naik ke tingkat atas selepas mendengar bunyi arus deras air masuk ke dalam rumahnya.

Menurut Halijah, ketika kejadian dia tinggal berseorangan di rumah kerana anak dan cucunya keluar ke pekan.

“Saya mula rasa tidak sedap hati apabila hujan terlalu lebat dalam tempoh masa agak lama pada petang itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Katanya, dia terus bergegas naik ke tingkat atas sebaik sahaja mendengar bunyi air masuk ke dalam rumah.

“Saya duduk di tingkat atas selama kira-kira sejam. Anak ada hubungi dan meminta saya tunggu di situ sehingga anggota bomba datang menyelamatkan saya.

“Saya dimaklumkan air memasuki rumah saya inj sedalam kira-kira dua meter,” ujarnya.

Katanya, dia hanya mampu berdoa dan bersyukur apabila anggota bomba tiba dan membawanya ke tempat selamat. 

Sementara itu, penduduk Taman Puteri, Zairani Ismail, 64, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di dalam rumah.

“Saya sedar hujan lebat tetapi tidak sangka akan berlaku banjir sehingga anak yang tinggal berdekatan menghubungi saya untuk memberitahu paras air naik.

“Saya terus buka pintu rumah sebelum terkejut air melimpah memasuki ruang tamu rumah. Saya tidak sempat menyelamatkan barang kerana kejadian berlaku terlalu pantas,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, anggota bomba sentiasa dalam keadaan bersiap sedia di sekitar Kampung Hutan Gelam dan Permatang Limau, Tualang kerana menjangkakan kawasan tersebut akan dilanda banjir jika berlaku lagi hujan lebat. – UTUSAN

Tiada ulasan: