Khamis, 18 November 2021

Wanita ditahan selepas buat aduan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita ditahan polis selepas membuat aduan diugut dan dicederakan oleh seorang kenalan lelaki warga asing.

Selepas membuat aduan itu, semakan polis mendapati wanita itu disenarai sebagai individu dikehendaki berkaitan kes dadah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata semakan mendapati wanita berkenaan mempunyai rekod orang yang dikehendaki atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bersabit kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

"Dia kemudiannya ditahan dan diserahkan ke Bahagian Narkotik IPD Cheras untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, wanita itu dalam aduannya mendakwa dia bertemu kenalannya itu di tempat letak kereta sebuah residensi servis di Jalan Hulu Klang, Ampang untuk meminta semula kad pengenalannya yang disimpan lelaki itu, kira-kira jam 6 pagi semalam.

Bagaimanapun, lelaki itu berang sebelum memegang kedua-dua belah sikunya dan melagakan kepalanya ke kepala, dahi serta muka sebelah kiri wanita itu beberapa kali.

Katanya, mangsa meronta dan menjerit untuk melepaskan diri tetapi suspek terus memeluk mangsa dengan kuat serta mencekik lehernya sehingga tidak mampu bersuara.

"Mangsa melawan dan cuba memegang suspek supaya tidak melarikan diri dari tempat kejadian tetapi gagal dan suspek berjaya melarikan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa meminta balik kad pengenalan yang ada dalam simpanan suspek yang dijadikan cagaran kerana wanita itu dikatakan meminjam wang suspek.

Akibat kejadian itu, mangsa lebam di bahagian kepala kiri dan sebelah mata.

Katanya lagi, mangsa juga dikatakan tiada tempat tinggal dan bergantung kepada suspek.

"Ekoran aduan yang diterima daripada mangsa, polis menahan lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang pelajar universiti swasta di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, kira-kira jam 2.45 petang, semalam.

"Suspek direman selama empat hari hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: