Isnin, 1 November 2021

Tiada sesiapun kebal daripada undang-undang – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

“TIADA istilah orang biasa atau kayangan. Undang-undang ini sama sahaja.”

Demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulas mengenai tindakan kompaun RM10,000 terhadap dua parti politik kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pilihan raya, baru-baru ini.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar ketetapan SOP bagi mengekang penularan COVID-19 menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

kata beliau, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) telah jelas dari segi hukuman yang boleh dikenakan.

Walaupun telah berada dalam Fasa 4 PPN, namun Perdana Menteri berkata, SOP yang jelas telah pun diumumkan kerajaan.

“Kita dah kata bahawa undang-undang yang ada di negara ini, mana-mana undang-undang sekali pun meliputi semua pihak, semua individu.

“Tiada sesiapa pun yang terlindung daripada undang-undang. Tiada sesiapa pun kebal dari segi undang-undang.

“Sesiapa sahaja, parti mana sekali pun tidak terlindung atau kebal. Jika mereka melakukan kesalahan, tindakan pasti diambil, kita tak ada kompromi.

“Tak ada istilah orang biasa, orang kayangan. Orang biasa kena (kompaun), orang kayangan tak kena. Jadi saya harap semua rakyat patuh kepada undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), hari ini.

Barisan Nasional (BN) yang mengadakan majlis pelancaran jentera PRN Melaka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Khamis lalu telah dikenakan kompaun RM10,000.

Pada masa sama, PKR turut dikenakan kompaun RM10,000 selepas mengadakan program penerangan bergerak walaupun tanpa perhimpunan di Taman Krubong Jaya, semalam.

Beberapa ahli Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) juga tikenakan kompaun selepas mengadakan sidang akhbar di Melaka, Rabu lalu.

24 Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya adalah dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November depan.

Tiada ulasan: