Khamis, 25 November 2021

Tiada kerjasama politik UMNO dan Bersatu di Melaka

 zuhayati

ADUN PN tidak diterima dalam kerajaan baharu

MELAKA – UMNO secara tegas berpendirian untuk tidak menjalinkan kerjasama politik dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) dalam pembentukan kerajaan Melaka.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Barisan Nasional (BN) tidak akan membabitkan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan ADUN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof dalam kerajaan baharu.

“Langkah itu sejajar dengan pendirian UMNO tidak menjalinkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diputuskan menerusi Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu.

“Cadangan untuk menggabungkan mereka tidak akan diterima dan kita tetap dengan pendirian tidak bekerjasama dengan Bersatu,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi dengan dua lagi kerusi dimenangi PN, manakala selebihnya Pakatan Harapan (PH).

Terdapat cadangan supaya dua ADUN PN berkenaan bersama BN untuk membentuk kerajaan negeri seperti yang dilakukan pada peringkat Pusat.

Semalam, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, tiada keperluan untuk dua ADUN baharu daripada PN itu dilantik sebagai Ahli EXCO Melaka kerana BN mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi, iaitu melebihi dua pertiga.

Tiada ulasan: