Selasa, 16 November 2021

Sesi akademik tahun depan bermula 21 Mac selepas 3 minggu cuti

 MALAYSIA NOW

Sesi persekolahan di seluruh negara bagi penggal ketiga 2021-2022 akan bermula pada 2 dan 3 Januari hingga 20 Mac 2022.

Kementerian pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan sesi persekolahan di seluruh negara bagi penggal ketiga 2021-2022 akan bermula pada 2 dan 3 Januari hingga 20 Mac 2022, sementara sesi akademik baru bagi tahun 2022-2023 akan bermula pada 21 Mac depan.

Dalam sebuah kenyataan, KPM berkata sekolah yang berada di negeri Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) akan memulakan sesi penggal ketiga tersebut pada 2 Januari sementara bagi sekolah dalam Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya) akan bermula pada 3 Januari.

Sementara itu, KPM berkata “kalendar akademik bagi sesi 2022/2023 akan bermula pada 21 Mac 2022 hingga 11 Mac 2023 bagi sekolah di negeri Kumpulan A dan pada 21 Mac 2022 hingga 12 Mac 2023 bagi sekolah di negeri Kumpulan B.”

Menurut jadual KPM, pelajar di negeri Kumpulan A bakal menjalani sesi persekolahan sebanyak 36 hari atau 8 minggu dan cuti penggal diberikan sebanyak 24 hari.

Bagi Kumpulan B pula hari persekolahan adalah sama seperti kumpulan B namun hanya diberikan cuti penggal sebanyak 23 hari, kurang sehari daripada Kumpulan A.

Menurut KPM, kalender bagi sesi persekolahan tahun hadapan (2022-2021) boleh dimuat turun melalui laman sesawang /www.moe.gov.my/takwim pada Isnin depan.

Tiada ulasan: