
DUA pengunjung tapak pesta ria (fun fair) terjatuh dari buaian berpusing yang terletak berhampiran sebuah pusat beli-belah di Cheras Selatan, tengah malam tadi.
Dalam kejadian itu, salah seorang daripadanya meninggal dunia manakala seorang lagi cedera.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Nasir Drahman berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada pekerja tapak pesta ria berkenaan pada 12.05 tengah malam.
“Saksi memaklumkan dua lelaki terjatuh dari buaian permainan fun fair.
“Salah seorang mangsa berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi. Seorang lagi mangsa berusia 30-an mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Nasir, mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan.
Kata beliau, siasatan di lokasi mendapati tiada unsur jenayah dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
“Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian sama ada terdapat unsur kecuaian pada pihak pemilik fun fair mahupun mangsa sendiri,” katanya.
Mohd Nasir meminta individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohd Emran Mohd Noor di talian 013-7638512 atau balai polis berdekatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan