Irwan Muhammad Zain
Menurut
Nazri, seelok-eloknya PRU15 diadakan pada 2023 setelah segala proses
bagi membolehkan mereka yang berumur 18 tahun diselesaikan. - Gambar
fail
KUALA LUMPUR:
Belum masanya untuk Parlimen dibubarkan dan diadakan Pilihan Raya Umum
Ke-15 (PRU15) kerana ketika ini, rakyat masih berada dalam kesusahan,
tegas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Menurut
Ahli Parlimen Padang Rengas itu, tumpuan, sebaliknya, harus diberikan
untuk memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat yang dihimpit
kesusahan akibat COVID-19.
Hujah beliau, perbelanjaan untuk menguruskan PRU15 sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat yang baru mahu memulakan hidup.
"Saya
bersetuju kalau nak buat apa-apa untuk kepentingan rakyat bukan parti,
tetapi kena ingat buat masa ini kalau kita sebut kepentingan rakyat,
maka bukan bubar Parlimen dan adakan pilihan raya.
"Kalau
betul nak jaga kepentingan rakyat, kena tengok sekarang rakyat tengah
susah sebab COVID-19 masih belum reda dan pemulihan ekonomi masih
berjalan.
"Belanja untuk lakukan PRU15
tentulah besar. Kalau PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka pun
perbelanjaannya cecah RM45 juta, bayangkan kalau PRU15?
"Buat
masa ini lebih baik perbelanjaan sebesar itu digunakan untuk membantu
rakyat dengan memulihkan ekonomi mereka, barulah rakyat lihat kita jaga
kepentingan mereka," katanya kepada Astro AWANI.
Nazri
juga menjelaskan, sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat, UMNO
dan Barisan Nasional (BN) akan dilihat sebagai mengkhianati anak muda
kerana mereka yang berumur 18 tahun tidak sempat mengundi.
Jelas
beliau, seeloknya PRU15 diadakan pada 2023 setelah segala proses bagi
membolehkan mereka yang berumur 18 tahun diselesaikan.
"Kalau
buat selepas segala urusan bagi membenarkan mereka yang berumur 18
tahun mengundi, maka UMNO akan dapat dilihat ikhlas mahu anak muda
terlibat dalam proses pembentukan kerajaan.
"Kalau
bubar (Parlimen) tahun ini, anak muda akan lihat UMNO dan BN khianati
mereka dan tidak jujur sebab ketika Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan,
Ahli Parlimen UMNO menyokong usul meminda Perlembagaan untuk membolehkan
mereka yang berumur 18 tahun mengundi.
"Jadi
jangan gopoh, selesaikan pemulihan ekonomi rakyat, selesaikan urusan
untuk benarkan umur 18 tahun mengundi, barulah adakan PRU15, seeloknya
2023," katanya lagi.
Nazri juga
mengingatkan mereka yang ghairah mahu PRU15 disegerakan agar belajar
daripada apa yang berlaku di Melaka apabila rakyat menghukum pihak yang
menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa dibubarkan.
"Kita
jangan hanya seronok sebab menang besar dalam PRN Melaka tetapi kena
lihat apa yang berlaku, mereka yang menyebabkan DUN dibubarkan telah
dihukum.
"Tiga daripada empat ADUN (Ahli
Dewan Undangan Negeri) yang menarik sokongan kalah dalam PRN Melaka
kerana dihukum oleh rakyat. PH yang terima mereka juga dihukum.
"Jadi kita jangan buat sampai rakyat pulak hukum kita kerana ghairah nak adakan PRU15," kata Nazri memberi peringatan.
Sebaik sahaja BN mencapai kemenangan selesa dalam PRN Melaka pada 20 November lalu, ada pihak yang mahu PRU15 disegerakan.
Antara
yang membuat kenyataan mahu PRU15 diadakan segera selepas kemenangan
besar BN ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Alasan
yang diberikan oleh Mohamad adalah bagi memastikan kerajaan yang
dibentuk mendapat mandat rakyat sekali gus bagi memberikan keyakinan
kepada banyak pihak termasuk pelabur asing bersandarkan kepada
kestabilan kerajaan dan politik semasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan