Khamis, 18 November 2021

Polis siasat wanita warga asing tidak pakai pelitup muka

FOTO yang tular di media sosial dua wanita warga asing tidak memakai pelitup muka di taman KLCC.
FOTO yang tular di media sosial dua wanita warga asing tidak memakai pelitup muka di taman KLCC.

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan dua wanita warga asing tidak memakai pelitup muka di taman KLCC di sini, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, ciapan beserta gambar wanita itu dimuat naik di Twitter.

"Hasil penelitian ke atas gambar berkenaan menunjukkan wanita bukan warga negara dilihat sedang berjalan dengan tidak memakai pelitup muka di laluan pejalan kaki taman KLCC.

"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuka satu kertas siasatan mengenai perkara itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) dan Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Katanya, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan mengiku peruntukan undang-undang akan diambil jika berlaku ketidakpatuhan.

Tiada ulasan: