Rabu, 24 November 2021

Plastik pembungkus bernajis tikus, kilang roti diarah tutup

 zuhayati

Logo halal meragukan sedangkan kilang tidak peroleh sijil tersebut

GEORGETOWN – Sebuah kilang pembuatan roti di Jalan Kedah, di sini diarahkan tutup selama dua minggu berikutan gagal memastikan tahap kebersihan premis mencapai piawaian Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) selepas menemui najis tikus pada plastik pembungkusan.

Najis tikus berkenaan ditemui di bahagian simpanan dulang roti yang dikhuatiri menyebabkan pencemaran dan keracunan makanan ketika serbuan yang dijalankan bahagian Keselamatan dan Kualiti makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menerusi Op Bersih.

Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP, Mohd Wazir Khalid berkata, pengendali makanan turut menggunakan troli bertingkat yang dipenuhi minyak tepu bagi meletakkan adunan roti.

“Tindakan itu boleh menyebabkan pencemaran silang sekiranya minyak tepu berkenaan cair apabila roti dipanaskan.

“Kilang yang beroperasi sejak 50 tahun lalu itu turut didapati menggunakan logo halal yang meragukan pada kotak produk sedangkan kilang tidak memperoleh sijil halal.

“Bukan sahaja kilang berkenaan, malah kebanyakan premis yang diserbu didapati menggunakan logo halal yang meragukan dan perkara ini membimbangkan terutama kepada pengguna muslim,” katanya seperti dipetik Harian Metro, hari ini.

Beliau menjelaskan pihaknya tidak melarang, tetapi perlu mendapat kelulusan pihak berwajib dan sudah nasihati supaya tidak melakukan kesalahan itu lagi.

“Kita turut arahkan pekerja terbabit supaya tidak lagi menggunakan plastik berkenaan yang dikhuatiri tercemar,” katanya.

Sementara itu, serbuan kedua terhadap kilang membuat mi di Jalan Pintal Tali turut mendapati premis terbabit tidak mematuhi PJKM.

Malah kilang yang sudah beroperasi sejak 80 tahun lalu itu turut didapati meletakkan makanan yang sudah siap diproses di atas lantai.

“Kedua-dua premis itu pernah diserbu dan diperiksa pada tahun lalu, namun kita hanya memberikan notis kompaun dan amaran.

“Berikutan kedua-duanya terus melakukan kesalahan berulang, kita terpaksa menutup memberi notis penutupan selama 14 hari bagi kerja pembersihan,” katanya.

Arahan penutupan dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan Jabatan Kesihatan negeri turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah hampir RM3,000 kepada kedua-dua premis.

Tiada ulasan: