Rabu, 24 November 2021

Permohonan Najib tangguh keputusan rayuan hukuman kes SRC ditolak

AGENDA DAILY

Tarikh keputusan bagi rayuan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Razak membabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) kekal pada 8 Disember ini.

Keputusan mengekalkan tarikh keputusan tersebut dibuat selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib yang mahu menangguhkannya kerana berada di Singapura pada tarikh sama itu.

Perkara itu dimaklumkan melalui surat yang ditandatangani Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron kepada Najib, firma guaman Tetuan Shafee & Co dan Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara.

Melalui surat berkenaan, menyatakan permohonan menangguhkan tarikh keputusan adalah tidak dibenarkan dan semua pihak dikehendaki hadir pada tarikh keputusan rayuan yang sudah ditetapkan sebelum ini.

Media semalam, melaporkan bahawa Najib memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuan berkenaan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Beliau memohon untuk menangguhkannya ke tarikh selepas 13 Disember kerana bekas perdana menteri itu perlu menjalani kuarantin di rumah sekembalinya dari Singapura.

Melalui surat kepada Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, Najib memohon supaya tarikh 8 Disember dilapangkan dan tarikh keputusan ditetapkan pada minggu seterusnya iaitu minggu 13 Disember hingga 17 Disember ini (atau mana-mana tarikh lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Permohonan itu dibuat kerana Najib selaku perayu akan berada di Singapura untuk melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang melahirkan anak kedua sehingga 5 Disember ini dan sejurus pulang, beliau diwajibkan untuk kuarantin kendiri selama tujuh hari.

Najib merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC.

SRC ialah subsidiari kepada syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram (masing-masing tiga tuduhan) serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas hakim itu memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Rayuan Najib akan diputuskan paneltiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Tiada ulasan: