Isnin, 22 November 2021

Pentadbiran Ismail Sabri, sumbang kemenangan BN di Melaka

Nilam Oshman

Pentadbiran Ismail Sabri, sumbang kemenangan BN di Melaka

KEMENANGAN besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan sahaja membuktikan parti itu kini berada di landasan tepat, tetapi menunjukkan pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diterima rakyat.

Penganalisi politik, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkata, pendekatan mesra rakyat selain dasar yang relevan termasuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Bajet 2022 dan konsep Keluarga Malaysia secara tidak langsung memainkan peranan menyumbang kemenangan BN.

Beliau berkata, banyak dasar dan perkara yang diumumkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri, dilihat mengutamakan kebajikan rakyat jadi ia sekali gus memberi kelebihan kepada BN.

“Sebahagian (faktor RMK12, Bajet 2022 dan Keluarga Malaysia), daripada yang dikempenkan. Perkara-perkara itu (dibentang dan diumumkan) sebelum PRN Melaka, jadi ia memainkan peranan (tentang) kecekapan kerajaan dalam memberi bantuan kepada pelbagai-pelbagai golongan masyarakat.

“Jadi barangkali sebahagiannya (dapat mempengaruhi) kerana yang banyak menerima bantuan golongan-golongan pengundi B40,” katanya kepada Malaysiapost.

Selain itu, beliau turut berpendapatan bahawa kemenangan BN itu kerana rakyat Melaka masih mengenang dan mengingati sejarah pentadbiran parti itu yang baik dalam memajukan negeri tersebut.

“Pada pandangan saya, kempen terbaharu ini (norma baharu), tiada kempen yang terbuka, di mana semua calon dapat menyampaikan (ceramah) secara langsung dan cepat kerana keadaan sekarang ini tidak dibenarkan untuk adakan kempen yang jelas.

“Maka, pengundi-pengundi itu, ingat hanya apa yang pernah berlaku (iaitu ketika era pentadbiran Umno-BN sebelum ini). Justeru kemenangan BN itu, lebih cenderung kepada ingatan yang baik tentang pemerintahan Umno.

“Jadi, berita negatif yang digunakan parti lawan seperti rasuah, jual pasir mungkin tidak sampai ke akar umbi (rakyat). Yang (rakyat) ingati Umno itu bagus (ketika mentadbir),” katanya.

Semalam, BN mencatat kemenangan besar dalam PRN Melaka sekali gus membentuk kerajaan negeri baharu yang lebih kukuh.

BN yang bertanding solo, memenangi 21 daripada 28 keseluruhan kerusi DUN dipertandingkan.

Daripada 21 kerusi dimenangi BN, 18 adalah daripada Umno, MCA dua kerusi manakala MIC memenangi kerusi tunggal mereka di DUN Gadek. – Malaysiapost

Tiada ulasan: