Rabu, 17 November 2021

Penghantar barang kesal dapat tempahan daripada ‘Power Ranger’

 Oleh KOSMO!

Penghantar barang itu menunjukkan bungkusan kecil yang perlu dihantarnya. - Agensi

JAKARTA – Seorang penghantar barang memuat naik video kekecewaannya terhadap bungkusan yang perlu dihantar setelah mendapati nama penerima  adalah ‘Power Ranger’, lapor laman berita Suara.com hari ini.

Satu video yang dimuat naik oleh penghantar barang tersebut di akaun TikToknya dengan nama @Jawad.hilman itu menarik perhatian netizen.

Menerusi video yang tular itu, lelaki tersebut berada di jalan kampung dipenuhi pokok yang kelihatan seperti hutan sambil duduk di atas motosikalnya.

Dia yang memakai baju hujan dan bertopi keledar putih itu merakamkan video dengan memegang sebuah bungkusan kecil  beserta riak wajah yang kesal. 

“Bagi korang yang suka order online shop, kalau tulis tu nama biar betul, bila nama Power Ranger, nombor telefon kurang satu digit, tanya makcik-makcik pun ditertawakan,” kata lelaki dalam klip  video itu sambil terus memegang bungkusan.

Wajahnya sangat jengkel, manakala pada akhir rakaman tersebut, dia mencampakkan bungkusan itu. Dia mengaku pernah bertanyakan alamat penerima kepada beberapa penduduk, namun mereka hanya mentertawakannya.

Klip video itu mendapat 904,000 tanda suka dan  13.9 ribu komen. – Agensi

Tiada ulasan: