Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
APABILA Shahrol daripada kumpulan, Shiro, menyuarakan pandangannya mengenai mengapa juri pertandingan besar seperti Maharaja Lawak Mega (MLM) tidak terdiri daripada kalangan pelawak, ramai yang berperang dengan pendapat masing-masing.
Tetapi, jika difikirkan secara mendalam, barangkali ada benarnya pandangan yang dilontarkan oleh Shahrol kerana pelawak tentunya lebih tahu selok belok seni komedi itu sendiri berbanding mereka yang bukan tergolong dalam kelompok itu.
Berpeluang berbual dengannya baru-baru ini, Pancaindera cuba merungkaikan apa sebenarnya yang bermain di benak Shahrol sementelah dia juga berani mempertahankan pendiriannya berhubung isu ini.
Bukan mahu mencari hal, tetapi dapat disimpulkan bahawa anak kelahiran Kluang, Johor ini cuma mahukan satu perubahan yang baik untuk industri seni komedi tanah air.
Jika suara kecilnya dapat didengar ramai, maka apa salahnya input yang bagus diketengahkan untuk penambahbaikan sebuah pentas besar seperti MLM. Berikut adalah temu bual bersama Shahrol.
Apa sebenarnya bermain di minda Shahrol ketika melontarkan
pandangan bahawa juri sepatutnya terdiri dalam kalangan pelawak tempoh
hari?
Saya nak lihat industri komedi kita ini semakin berkembang, bukan
menguncup. Kita lahir selepas zaman Senario, jadi kita ini adalah
pelapis pelawak di Malaysia. Tak kiralah daripada program Raja Lawak,
Maharaja Lawak atau Maharaja Lawak Mega pun. Industri komedi di
Indonesia sudah 10 tahun ke depan berbanding kita. Contoh, penggunaan
pick up line. Di sana sudah berevolusi dan lebih hebat, tapi kita masih
sama saja. Cia Cia Cia saja? Dah basi. Bab penjurian pula, saya rasa
sangat teruk. Apabila buat persembahan hambar, juri asyik komen nak
tengok cuba lagi pada minggu depan, tapi apa intipati komennya? Macam
awak masak nasi goreng dan ia tidak sedap. Tapi awak tak beritahu apakah
garamnya yang kurang? Atau gulanyakah kurang? Bagaimana kita nak tahu
apa silapnya?
Maksud Shahrol, juri pun kena tahu apa asas dalam bidang komedikah?
Saya rasa, juri sekarang kalau ditanya mengenai ‘The Three Rules’ dalam
teknikal komedi pun mereka tak tahu. Punchline yang mana satu, siapa
yang bawa cerita dan macam-macam lagilah. Kalau komen diberikan
berdasarkan itu, maka peserta tahu apa yang mereka harus ubah. Bila saya
tegur, mereka pun ada yang hubungi dan minta saya jangan hentam macam
itu. Katanya kita sebagai satu keluarga. Saya tak menghentam tapi
bersuara untuk kebaikan. Beginilah, ada yang menyokong membawa rebah,
ada yang menyokong bawa kenaikan. Saya tegur untuk lihat perubahan
mereka.
Tapi, jikalah golongan pelawak duduk di kerusi juri, tidakkah ia boleh membawa kepada konflik kepentingan?
Tak dinafikan, termasuk isu mengikut format. Saya pun tahu. Tapi, komedi
ini mengikut mata dan kehendak zaman ketika itu. Saya faham program MLM
pada awalnya satu rancangan baru. Masa itu, nak ambil juri ada berjuta
pengikut demi menaikkan rating pun tak apa. Tapi sekarang, program itu
sudah gah, ada nama.Hari ini bukan ikut rating. Tapi kita nak satu
komuniti komedi yang bermutu dan bernas. Yang boleh mendidik masyarakat.
Tolonglah, pelawak bukan bodoh, bukan badut untuk ketawa-ketawa atas
pentas saja. Itu yang sampai terjadi lawak double meaning, sebut yang
tidak sepatutnyalah. Ingat saya tak kasihankah tengok industri komedi
hari ini asyik kena kecam? Semua di pentas itu ialah kawan-kawan. Saya
kasihan bila satu Malaysia tengok mereka macam badut. Tugas pelawak,
kalau di Indonesia sudah taraf pengkritik sosial. Yang boleh beri
mendidik masyarakat, menegur, menasihati sesiapa sahaja tak kiralah
kerajaan, ahli politik atau apa.Pemikiran kita kena berubah dan jangan
di takuk lama.
Bagaimana jika Shahrol dihentam kerana berpandangan begini? Maklumlah industri ini kecil sahaja.
Kalau nak hentam atau gam saya pun suka hatilah. Saya pun tak ada niat
nak muncul di kaca TV semula. Saya bukan nak pertikaikan rezeki orang,
tapi satu saya nak tanya, apa tujuan asal Astro Warna ditubuhkan? Itu
adalah rumah para pelawak, untuk mereka berkarya, mencurah idea, nak
beri persembahan. Tapi hari ini, nampaknya sesiapa sahaja boleh masuk
rumah itu atas dasar rating. Pelawak-pelawak yang masuk bertanding dari
Raja Lawak 1 sampai 7 itu ke mana akhirnya? Pernah saya tanya dan
jawapan yang diberikan, mereka tiada rating, tak ramai pengikut. Kalau
macam itu, kenapa Allahyarham Mamat Khalid boleh guna formula meletakkan
pelakon watak Kuda dalam filemnya? Itu kerana dia ada bakat dan
disokong oleh orang lama dan pengkarya yang tahu macam mana nak letakkan
Kuda itu.
Shahrol kecewa tak bila tengok rakan-rakan yang bertanding rata-ratanya sekarang dikatakan tidak kelakar pun. Komen?
Tak perlu kata penonton atau warganet, peranan Sang Bara itu untuk apa?
Dalam salah satu komen, saya dengar Sang Bara itu menilai persembahan
kumpulan 3Otak, namun ayat yang digunakan tidak patut. ‘Ini 3 Otak atau
tiada otak?’Seolah maruah pelawak itu tidak bersungguh nak buat kelakar
atas pentas. Walaupun tak kelakar, tahu tak, betapa payahnya nak cari
idea untuk tiga minit itu? Mereka ada kekangan masa untuk berjumpa
setiap hari, mungkin ada pekerjaan lain, berkumpul perah idea sampai dua
tiga pagi tetapi adakala ilham tidak muncul, janganlah komen orang itu
tiada otak. Hormat sikit. Setahun sekali kumpulkan pelawak-pelawak,
lepas itu awak nak bunuh seorang demi seorang dengan tembakan. Ini macam
drama ‘Squid Game’ pula.
Ada berpendapat Shahrol bersuara kerana kecewa tak dapat masuk program MLM tahun ini. Komen?
Bukan tak dapat masuk. Sudah ditawarkan tapi saya yang tak nak masuk.
Ada beberapa faktor yang saya rasa tak perlulah masuk. Bertanding dalam
keadaan pandemik ketika ini, kita tahu ada had penonton di studio. Kita
buat lawak ini, semangatnya dari penonton. Kalau penonton pun ada 10
atau 20 orang, baik buat lawak dalam grup WhatsApp saja. Saya percaya,
setiap orang yang berada di pentas, yang menaikkan semangat mereka
adalah sambutan daripada penonton di depan. Kalau penonton tak memberi,
tak keluarkan aura ketawa mereka, pelawak pun akan jadi lesu dan lemau.
Secara peribadi, menerusi dengan apa yang berlaku ini, ada tak terdetik
di hati Shahrol ‘mujur tak masuk bertanding pada tahun ini’?
Bukanlah cakap ‘mujur aku tak masuk’ sebab ramai juga tahu saya sibuk
uruskan banyak perkara lain selama ini. Kita lahir dalam program itu
jadi memang dah kategori pelawak. Ia juga bagai sebuah rumah lama kita.
Cuba bayangkan rumah di mana tempat awak lahir, tempat bermain. Tergamak
tengok rumah itu dibakar, dirobohkan, dihina? Itu rumah peninggalan
kita. Tak akan kita nak benda tak baik terjadi. Saya sendiri banyak
kenangan di situ. Tapi sekarang, di situ saya lihat macam ramai yang nak
memusnahkan khazanah komedi.
Andai ada berpendapat, Shahrol ini banyak bunyi kerana teringin nak duduk di kerusi juri macam mana ya?
(Ketawa). Saya ini bukan nak kejar jawatan atau kerusi jurilah! Untuk
apa? Ingat seronok sangat jadi juri? Saya bercakap hari ini atas
kapasiti seorang penonton. Saya percaya ramai lagi yang sokong. Kalau
nak letak juri yang bagus misalnya seperti Sabri Yunus, Saiful Apek atau
Habsah Hassan. Tak semestinya pelawak. Maksud saya, biarlah orang itu
seorang yang tahu teknikal komedi. Itu yang penting.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan