Rabu, 17 November 2021

[PARLIMEN] Tiada kos tambahan lantikan Ahmad Idham, Eizlan Yusof di Kementerian Luar Negeri

Oleh ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN
EIZLAN Yusof (kanan) dan Ahmad Idham (kiri) bersama Saifuddin Abdullah pada majlis pelantikan mereka di Wisma Putra.

KUALA LUMPUR: Tiada kos tambahan untuk lantikan Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Setiausaha Kebudayaan dan Datuk Seri Eizlan Yusof sebagai Perunding Kreatif kepada Menteri Luar Negeri.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kedua-kedua mereka berkhidmat hanya seperti khidmat negara ataupun national service.

“Suka saya jelaskan pelantikan Ahmad Idham selaku Setiausaha Kebudayaan kepada Menteri Luar Negeri sebenarnya menggunakan peruntukan perjawatan sedia ada di Pejabat Menteri Luar Negeri. Jawatan ini setaraf dengan Gred 54 di sektor kerajaan.

“Untuk dia, tiada kereta, tiada pemandu, tiada pejabat dan tiada pembantu peribadi. Beliau hanya ada sebuah bilik kecil di sebelah pejabat saya.

“Datuk Seri Eizlan Yusof telah menawarkan khidmatnya sebagai Perunding Kreatif kepada Menteri Luar Negeri secara khidmat sukarela,” jelasnya di Dewan Rakyat.

Dalam sesi perbahasan itu, Saifuddin turut menyeru lebih ramai Keluarga Malaysia menawarkan perkhidmatan begitu demi membangunkan negara secara bersama tanpa berbelah bahagi.

“Justeru, ingin saya tegaskan tiada kos tambahan kepada kerajaan berikutan kedua-dua pelantikan ini,” katanya.

Tiada ulasan: