Selasa, 16 November 2021

Mohamad mahu orang percaya Rauf bukan calon Ketua Menteri Melaka


Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa orang ramai supaya percaya bahawa Pengerusi Perhubungan Negeri itu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bukan calon Ketua Menteri (KM) Melaka bagi Barisan Nasional (BN).

Pengarah Pilihan Raya BN itu berkata orang ramai mesti percaya Rauf bukan calon KM jika BN berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November, ia walaupun beliau bersama bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak sanggup menemani Rauf semasa penamaan calon pada 8 November lalu.

“Insya-Allah, kalau dipanjang umur Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan memegang jawatan itu sehingga habis penggal.

“Tiada isu ketua menteri sementara. Ini bukan cerita main-main…ini bukan ketua kampung sebab kita nak menstabilkan kerajaan negeri,” katanya dipetik laporan media.

Menurutnya lagi, parti telah menetapkan hanya Sulaiman akan terus memegang jawatan itu sehingga habis penggal.

Mohamad juga berkata ada sesetengah pihak sengaja memutar belitkan isu ketua menteri malah beliau menyifatkan ia hanyalah mainan politik yang cuba diadu domba serta cubaan meracun minda pengundi di Melaka ini oleh segelintir pihak yang berkepentingan.

“Jadi tak perlu mendengar pengundi-pengundi dan rakyat Melaka, BN telah pun memutuskan di peringkat tertinggi parti bersama dengan Presiden dan rakan-rakan yang lain bahawa calon kita adalah Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang akan kita lantik dan menguruskan negeri ini sehingga satu penggal,” jelasnya lagi.

Agenda Daily difahamkan, Rauf yang sebelum ini dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka adalah individu berkebolehan untuk menggalas tugas itu kerana peranannya dalam pentadbiran negeri sebelum ini.

Beliau juga dikatakan mendapat restu Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk diangkat sebagai KM Melaka. Sebab itu, kali ini beliau dicalonkan untuk bertanding.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu Ab Rauf tidak dicalonkan, namun setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka tumbang pada Mac 2020, beliau dilantik sebagai Speaker DUN.

Rauf yang sebelum ini dikatakan kerap memberi tunjuk ajar kepada Sulaiman yang ketika itu menjadi KM, bagaimana untuk mentadbir negeri, mengundang keresahan beberapa Ahli Exco, termasuk Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan, kedua-duanya bekas wakil rakyat UMNO.

Idris dan Nor Azman kini juga sudah dipecat UMNO dan bertanding atas tiket PH pada PRN Melaka kali ini.

Lagi pula Sulaiman tidak disukai beberapa pemimpin atasan UMNO negeri pimpinan Rauf.

Tiada ulasan: