Isnin, 22 November 2021

Mangsa banjir di Kubang Pasu meningkat

Anggota APM Kubang Pasu memasang khemah untuk menempatkan mangsa banjir. - Foto ihsan APM
Anggota APM Kubang Pasu memasang khemah untuk menempatkan mangsa banjir. - Foto ihsan APM

KUBANG PASU: Jumlah mangsa banjir di daerah ini meningkat kepada 58 mangsa daripada 12 keluarga dengan kesemua mereka ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 12 tengah malam tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff, berkata jumlah itu meningkat berbanding jam 8 malam tadi iaitu hanya 28 mangsa daripada enam keluarga di satu daripada dua PPS yang aktif.

Beliau berkata, kesemua mangsa ditempatkan di PPS Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang dan Dewan Kampung Lahar, di sini.

Mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Kampung Lahar berikutan banjir kilat yang membabitkan dua kampung di daerah itu. - Foto ihsan APM
Mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Kampung Lahar 
berikutan banjir kilat yang membabitkan dua kampung di 
daerah itu. - Foto ihsan APM

"Setakat ini, mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Kampung Lahar adalah seramai 22 mangsa daripada empat keluarga.

"PPS Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang pula menempatkan seramai 36 mangsa daripada lapan keluarga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hujan lebat melebihi dua jam sekitar jam 5.30 petang Sabtu lalu menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini terjejas akibat banjir kilat.

Berikutan itu, dua PPS dibuka iaitu di Dewan Kampung Lahar kelmarin, manakala Dewan Kampung Tradisi dibuka jam 8 malam tadi.

Paras air di daerah Kubang Pasu yang semakin surut berikutan banjir kilat yang melanda daerah itu kelmarin. - Foto ihsan APM
Paras air di daerah Kubang Pasu yang semakin surut berikutan 
banjir kilat yang melanda daerah itu kelmarin. - Foto ihsan APM

Tiada ulasan: