Ahad, 21 November 2021

Liputan internet 4G seluruh negara termasuk pedalaman pada 2025 – PM

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
ISMAIL SABRI Yaakob (tiga dari kiri) menyampaikan geran rakan digital pada Program Pemerkasaan Pendigitalan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan 2021 (PMKS 2021) di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di Bera, Pahang. - MINGGUAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

BERA: Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan menyasarkan seluruh kawasan di negara ini termasuk luar bandar dan pedalaman memperoleh liputan internet 4G sepenuhnya pada 2025. 

Pada ketika ini, kira-kira 94 peratus kawasan di seluruh negara mendapat liputan internet 4G.

Usaha ke arahnya sedang giat dilakukan bagi mempercepat peningkatan tahap liputan, mengambil kira kepentingan dan keperluannya yang semakin meningkat

Perdana Menteri berkata, kerajaan bersama pihak swasta berbelanja sebanyak RM28 bilion apabila melancarkan Projek Jalinan Digital Negara (Jendela) pada September tahun lalu. 

Jelasnya, menerusi kerjasama itu, kerajaan menyasarkan meningkatkan tahap liputan internet 4G kepada 96.6 peratus di seluruh negara pada hujung 2022.

“Dahulu kita dapat lihat kes di Sabah apabila seorang pelajar memanjat pokok untuk mendapatkan capaian intenet. Jadi, dengan adanya Jendela, sebanyak 96.6 peratus capaian internet akan dapat kita capai di seluruh negara. 

“Kawasan terlalu jauh seperti di pedalaman iaitu 3.4 peratus lagi, kita sasarkan sehingga akhir 2025,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Pemerkasaan Pendigitalan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan 2021 (PMKS 2021) di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, di sini, hari ini. 

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. 

Ismail Sabri dalam pada itu berkata, berhubung liputan internet 5G pula, ia akan dilancarkan pada Disember ini di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Cyberjaya. 

“Di seluruh negara, kerajaan sasarkan 80 peratus kawasan akan mendapat liputan internet 5G pada 2026,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: