Isnin, 1 November 2021

Kompaun dikeluarkan kepada individu, bukan parti politik

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
ABDUL MAJID Mohd. Ali ditemui pemberita semasa sidang akhbar Op Jihad Dadah di Krubong, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA: Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali menjelaskan, polis tidak pernah mengeluarkan kompaun ke atas mana-mana parti politik, sebaliknya ia dikenakan kepada individu yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). 

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya menguatkuasakan akta tersebut secara menyeluruh membabitkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), bukannya tertumpu kepada perhimpunan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. 

“Kita menguatkuasakan Akta 342 yang membabitkan kegagalan mematuhi SOP, tiada penjarakan sosial, tidak memakai pelitup muka, tidak menyediakan peralatan seperti pembasmi kuman tangan dan kod QR. 

“Bila kita ambil tindakan itu, kita bukan ambil ke atas parti tetapi individu atau penganjur yang melanggar peraturan.

“Saya tidak mahu masyarakat menyukarkan perkara ini. Kami ini ‘buta warna’ dalam menguatkuasakan undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar Op Jihad Dadah di Krubong, di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertikaian segelintir pihak mendakwa, tindakan PDRM berat sebelah dalam mengenakan kompaun terhadap parti pembangkang. 

Tambah Abdul Majid, sekiranya terdapat pihak yang tidak berpuas hati mengenai tindakan kompaun dikenakan, perkara itu boleh dirujuk kepada Kementerian Kesihatan.

“Dalam sistem keadilan jenayah, dia mempunyai peluang untuk bersuara. Maknanya jika mana-mana pihak tidak berpuas hati tentang kompaun dia boleh merujuk kepada Kementerian Kesihatan.

“Sekiranya dia masih tidak berpuas hati, tindakan kompaun itu boleh dibawa ke mahkamah untuk pengadilan,” tegasnya.

Jelasnya, Akta 342 akan terus dikuatkuasakan sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan SOP baharu mengenai PRN. 

“Saya juga menasihati pegawai di lapangan supaya memberi nasihat dahulu, jika mereka ingkar barulah kita kompaun atau buka kertas siasatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: