Selasa, 16 November 2021

Ketua Kampung Long Tap ditemukan lemas selepas perahu karam

 WARTA RAKYAT

KETUA Kampung Long Tap, Clement Wan Tingang, 74, lemas selepas perahu dinaikinya karam di sungai di Long Tap, hulu Baram, Miri, Jumaat ditemukan mayatnya hari ini.

Mayat ditemui tersangkut di atas batu di tebing Sungai Abang, kira-kira pukul 9.10 pagi tadi.

Menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri, Law Poh Kiong, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kemudian mengambil mayat mangsa dan menyerahkan kepada keluarganya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian yang menimpa mangsa pada jam 11 malam, Jumaat lalu.

“Keluarga mangsa membuat panggilan terus kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, Maureen Sim Ah Lian yang memaklumkan kejadian yang menimpa ketua kampung itu.

“Berikutan panggilan itu diterima hampir tengah malam, anggota dari BBP Marudi pergi ke lokasi kejadian pada jam 7 pagi, Sabtu kerana untuk ke Long Tap terpaksa melalui jalan balak yang memakan masa lapan jam perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiba di lokasi pada petang Sabtu, empat anggota dari BBP Marudi itu terus mengaktifkan operasi SAR bersama penduduk kampung.

“Selepas pencarian memasuki hari ketiga, mayat mangsa ditemui hari ini di jarak kira-kira empat kilometer di hilir Sungai Abang,” katanya.

Menurutnya lagi, mangsa aktif dalam aktiviti kebombaan dan pernah mengikuti ‘Summer Camp’ anjuran JPBM Sarawak pada 2018 yang diadakan bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat berhubung langkah mencegah kebakaran.

Tiada ulasan: