Khamis, 25 November 2021

Kerajaan sudah rancang ganti pesawat Hawk menerusi tender terbuka


Satu tender terbuka sedang dinilai kerajaan bagi bagi menggantikan pesawat Hawk 108/208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Penilaian melibatkan perolehan pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (FLIT-LCA) yang akan menggantikan pesawat Hawk kini sedang berjalan, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang memberitahu tender terbuka antarabangsa bagi perolehan itu sudah ditutup pada 6 Oktober lalu.

“Kerajaan telah merancang secara sistematik bagi penggantian pesawat Hawk 108/208 sebagaimana digariskan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM (CAP55).

“Kerajaan juga sudah memulakan proses penggantian dengan meluluskan perolehan baharu FLIT-LCA melalui Rolling Plan 1 2021,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang memohon kerajaan mempertimbangkan penggantian pesawat Hawk 108/208 secara sistematik dengan segera.

Menjawab soalan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) sama ada kerajaan akan mengkaji semula lokasi pangkalan TUDM yang berada di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi pula, Hishammuddin berkata, tiada keperluan untuk pihak Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berbuat sedemikian.

Beliau menjelaskan, faktor keselamatan penerbangan di semua pangkalan TUDM sudah mengambil kira kriteria keselamatan seperti persekitaran landasan terbang, termasuk laluan berlepas dan mendarat.

“Semua landasan terbang di pangkalan TUDM adalah mengikut standard piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa yang diaudit secara berkala oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan TUDM sendiri.

“Walaupun berada dalam kepadatan penduduk yang tinggi, selagi ia menepati piawaian maka tiada keperluan untuk Kementerian Pertahanan dan ATM memindahkan atau membuat keputusan drastik terhadap kedudukan pangkalan TUDM sedia ada,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, semua operasi penerbangan pesawat TUDM adalah mengikut standard prosedur dan piawaian keselamatan penerbangan yang amat ketat dengan tahap pematuhan tinggi sebelum sesuatu misi penerbangan dibenar untuk dilaksanakan.

Tiada ulasan: