Selasa, 2 November 2021

Kelantan laksana Enakmen Kanun Jenayah Syariah bermula hari ini

 Oleh YATIMIN ABDULLAH

Sihir antara jenayah syariah yang bakal diambil tindakan di Kelantan.

KOTA BHARU – Kelantan akan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 selepas perkara itu sudah mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkuat kuasa serta-merta bermula hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob selepas merasmikan Majlis Penerangan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 secara dalam talian menerusi laman Facebook rasmi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) semalam.

Menurut Ahmad, sejurus diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir Kelantan lebih 30 tahun lalu, Pas telah melakukan pelbagai usaha merealisasikan impian melaksanakan undang-undang Islam di negeri ini termasuk mewujudkan jawatankuasa berkait dengan perkara tersebut.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah meluluskan Rang Undang-undang Jenayah Syariah pada tahun 1993 dan bermula dari detik itu, lahirnya Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993. Bagaimanapun, enakmen tersebut tidak dapat dikuatkuasakan atas sebab dan halangan tertentu.

“Seterusnya, kerajaan negeri mengambil insiatif lain dengan membuat kajian dan penambahbaikan terhadap enakmen-enakmen sedia ada di negeri ini. Ia termasuk Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 yang mula disemak semula pada tahun 2016 dan berakhir pada tahun 2019,” katanya.

Ahmad memberitahu, peruntukan enakmen sedia ada itu telah dikaji, diteliti dan mendapati ia perlu ditambah baik supaya sesuai dengan arus perkembangan sosial masyarakat masa hari ini serta menepati Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965.

Katanya, langkah itu bagi memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah membicarakan kes-kes yang had hukumannya adalah maksimum tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau enam sebatan atau gabungan mana-mana hukuman terbabit.

“Dengan itu, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 dirangka. Enakmen ini memilih kaedah pelaksanaan hukuman berbentuk hukuman retributif dan hukuman restoratif untuk memulih serta memberi kesedaran kepada para pesalah syariah terhadap kesalahan yang dilakukan.

“Undang-undang ini bertujuan mengajar, mendidik dan menepati perintah agama selain menjadikan syariat islam sebagai panduan kehidupan. Jadi, umat Islam di negeri ini disaran agar sama-sama mematuhi dan menjaga kedaulatan undang-undang yang dikuatkuasakan demi kesejahteraan bersama,” ujarnya.

Terdahulu, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 mengambil masa selama enam tahun untuk kajian bagi tujuan pengubalan dan kemudian dibentangkan di DUN pada 14 hingga 16 Oktober 2019.

Ia kemudian mendapat persetujuan Diraja pada 14 Julai tahun lalu dan diwartakan pada 31 Disember tahun sama mengikut dalam Warta Kerajaan. -K! ONLINE.

Tiada ulasan: