Rabu, 17 November 2021

Isu doktor kontrak: Cadang lanjut tempoh kontrak 10 tahun

 Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN

GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dicadangkan memanjangkan tempoh perkhidmatan doktor berstatus kontrak daripada dua tahun kepada 10 tahun di samping menambah lebih banyak perjawatan bagi golongan itu. 

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Koh Kar Chai berkata, langkah itu dapat menjimatkan masa membabitkan isu pentadbiran yang sedang dihadapi doktor setiap kali mahu memperbaharui kontrak mereka. 

Selain itu, beliau berkata, tempoh sepanjang itu membolehkan doktor kontrak menyambung pengajian mereka dalam bidang kepakaran masing-masing dan memberi jaminan pekerjaan yang ketika ini menjadi isu paling utama.

“Ramai doktor kontrak akan menghabiskan tempoh kontrak mereka pada hujung tahun ini dan hingga kini tiada sebarang maklumat diberikan mengenai status kontrak bagi kebanyakan doktor. Sudah pasti terdapat ketakutan dan kebimbangan dalam kalangan mereka jika perkhidmatan kontrak ditamatkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Selain itu, kata Kar Chai, pihaknya mencadangkan supaya doktor kontrak layak menerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) dan pihaknya dimaklumkan geran berasingan akan diwujudkan. 

Bagaimanapun, katanya, MMA masih menunggu keputusan berkenaan selain mempertimbang untuk memberi Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP) bagi mereka yang mahu menyertai mana-mana program perubatan yang diiktiraf. 

“Ketika ini kumpulan doktor kontrak tidak dapat memohon HLP atau mana-mana program tajaan tempatan. Walaupun di Parlimen ada mengatakan doktor layak namun tiada hitam putih daripada JPA.

“Malah ada calon yang berjaya mendapat biasiswa tetapi perlu berhenti berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan untuk mengikuti program sarjana mereka,” katanya.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak baru-baru ini memaklumkan akan memulakan siri mogok kedua di seluruh negara pada bulan depan akibat masalah lantikan tetap mereka ke dalam Kementerian Kesihatan masih belum selesai.

Rancangan tunjuk perasaan itu pula hadir selepas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2022 baru-baru ini yang memberi tawaran sedia ada kepada mereka namun tidak menyebut mengenai lantikan tetap ke dalam kerajaan.

Di Malaysia, pegawai perubatan boleh menjadi pakar melalui peringkat pengajian sarjana beserta HLP dan CBBP dengan syarat pegawai perubatan mesti berkhidmat secara tetap dengan kerajaan sekurang-kurangnya tiga tahun. 

Mengulas lanjut, Kar Chai berharap supaya setiap tuntutan perbelanjaan yang dibuat oleh doktor ketika ini dapat diselesaikan dengan segera termasuk tuntutan Covid-19 dan tuntutan perjalanan.

Katanya, hal itu berdasarkan tinjauan oleh Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (SCHOMOS) MMA mendapati ramai doktor lewat menerima bayaran tuntutan mereka malah ada yang tidak dibayar dengan alasan tiada peruntukan.

“MMA tidak dapat menerima alasan sedemikian kerana ia adalah hak mereka berdasarkan perkhidmatan yang diberikan,” katanya. 

Sementara itu, beliau mencadangkan supaya cuti tahunan terkumpul doktor dapat dilanjutkan selama dua tahun dan digunakan sepenuhnya dalam tempoh itu memandangkan cuti tahun petugas kesihatan ketika ini masih dibekukan akibat pandemik Covid-19 malah, difahamkan, cuti berkenaan akan tamat tempoh dan tidak boleh dibawa ke tahun berikutnya. 

“Walaupun ia isu pentadbiran yang harus diselesaikan secara dalaman, ia boleh menimbulkan ketidakpuasan hati dan kekecewaan petugas kesihatan berkenaan terutama petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus selama dua tahun menghadapi Covid-19,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: